Yadim kini dikuasai parti PH

KUALA LUMPUR – Mana janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak melantik kalangan ahli politik dalam agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan atau yayasan?

Jika dituduh sebagai kerajaan cakap tidak serupa bikin, mereka tidak boleh marah kepada rakyat kerana perbuatan dan tindakannya menjurus ke arah itu.

Dalam kes terbaharu, senarai Lembaga Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) boleh dikatakan semua pemimpin politik dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Ini berbeza Lembaga Pengarah di zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) yang melantik dari kalangan profesional seperti tokoh akademik, agamawan, mufti dan bekas pegawai kanan kerajaan.

Menerusi barisan Lembaga Pengarah bawah kerajaan PH, Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz adalah dari PAN dan Timbalan Yang Dipertua, Zolkarnain Abidin juga dari PAN.

Ahli Lembaga Pengarah Yadim pula terdiri daripada Muhamad Razak Idris yang memegang jawatan sebagai Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim (Presiden ABIM), Syed Ibrahim Syed Noh (Ahli Parlimen Ledang-PKR), Abdul Ghani Shamsudin (Timbalan Penasihat Umum PAN), Ahmad Sayuti Bashiron (ahli PAN).

Samsu Adabi Mamat (Ketua Bahagian PPBM Cheras), Shamsul Ma’arif Ismail (Naib Pengerusi 2 PAN), Maznah Daud (Wanita PAN), Nor Azrina Surip (Ahli Parlimen Mantek – PKR), dan lantikan terbaharu, Sheikh Omar Ali (ADUN Paloh – DAP).

Senarai barisan Lembaga Pengarah dua zaman itu kini mula tular di media sosial dan menjadi bualan ramai, yang membuat perbandingan antara kerajaan PH dengan BN.

Di zaman BN, Yang Dipertua Yadim ialah Dr. Yusri Mohamad (agamawan), dan Timbalan Yang Dipertua, Mohamad Zaidi Ramli (bekas pegawai kanan kerajaan).

Manakala barisan Ahli Lembaga Pengarahnya pula, Tan Sri Othman Mustapha (mantan Ketua Pengarah Jakim), Datu Misnu Taha (mantan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak), Datuk Nooh Gadut (mantan Mufti Johor), Datuk Idris Shaari Mat Aris, Prof Datuk Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid (agamawan), Datuk Supiah Md Yusuf (akademik), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal (akademik) dan Prof Datuk Dr Sidek Baba (agamawan).

Jika dibandingkan dua senarai itu, ternyata PH gagal menunaikan janjinya untuk tidak ada campur tangan dalam kalangan politik dalam organisasi kerajaan seperti Yadim. – MalaysiaGazette

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *