Portal berita terbaik anda

Utama

Warga Syria ‘tinggal’ di KLIA2 selama 7 bulan akhirnya ditangkap

PUTRAJAYA – Lelaki warga Syria, Hassan al Kontar, 36, yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selama tujuh bulan sejak 7 Mac lalu akhirnya telah ditangkap oleh pihak polis semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya akan memulakan usaha untuk mengusir lelaki tersebut selepas polis selesai menjalankan siasatan kerana berada di kawasan larangan sebelum diserahkan kepada jabatan itu.

“Apabila Hassan tidak dibenarkan masuk ke Kemboja dan pulang semula ke Malaysia, dia telah melakukan pelbagai usaha untuk terus berada di negara ini sehingga mengeluarkan pelbagai kenyataan menerusi media sosial yang memalukan negara.

“Disebabkan pas menaiki pesawat dan visa sudah tamat tempoh maka kita bekerjasama dengan pihak polis untuk tangkap lelaki ini dan selepas siasatan dibuat sudah tentu dia akan diserahkan kepada pihak Imigresen. Kita akan bincang dengan kedutaan Syria untuk bawa dia keluar dari negara ini,” katanya.

Sebelum ini, portal berita antarabangsa, The Guardian melaporkan Hassan menjadikan satu sudut di KLIA2 sebagai tempat tidurnya, selain mandi di tandas lapangan terbang itu sejak lebih sebulan lalu apabila dihalang meninggalkan negara ini untuk ke Ecuador.

Hassan berharap dapat memasuki Ecuador tanpa visa sebelum turut dihalang memasuki Kemboja.

Difahamkan, Hassan berada di zon transit KLIA2 sejak 37 hari lalu dan bergantung kepada kebaikan kakitangan lapangan terbang serta syarikat penerbangan untuk mendapatkan makanan serta keperluan lain.

Bekas jurujual insurans itu mendakwa tinggal di lapangan terbang itu sejak 7 Mac lalu dan bimbang ditangkap jika dihantar pulang ke Syria yang masih dilanda perang saudara berlanjutan selama tujuh tahun. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply