Portal berita terbaik anda

Utama

Warga emas, pelajar sekolah dicekup ponteng solat Jumaat

WARGA emas dan pelajar tingkatan empat antara 17 lelaki yang ditahan dalam operasi Ponteng Solat Jumaat di sekitar Pantai Kemasik dan Pantai Mak Nik, Chukai, semalam.

Ketika ditahan, warga emas berusia 69 tahun itu sedang minum di sebuah warung tanpa segan dan beri alasan tidak sedar sudah masuk waktu solat Jumaat, meskipun azan dapat didengari di kawasan itu.

Sementara itu, sepasang kekasih usia 20-an turut ditahan ketika asyik bercinta di Pantai Kemasik.

Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Zuhaiza Ismail berkata, operasi itu bermula 1.50 tengah hari hingga 2.10 petang.

Katanya, alasan diberikan warga emas itu tidak logik memandangkan masjid terletak dekat dengan warung tempatnya minum.

“Laungan azan memang jelas didengari di situ tetapi dia selamba menikmati secawan kopi ketika lelaki Islam lain ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

“Daripada yang ditahan, ada juga memberi alasan sedang minum dan menunggu kawan sementara kita menahan pasangan kekasih yang sedang memadu kasih.

“Semua lelaki ditahan berusia antara 16 hingga 69 tahun dibawa ke Pejabat Agama Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Nik Zuhaiza berkata, tindak tanduk mereka sebelum ini diperhatikan penguat kuasa wanita yang bertugas, sebelum tangkapan dilakukan penguat kuasa lelaki selepas selesai solat Jumaat.

Katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak adalah satu kesalahan.

“Mereka ini berdepan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Selain aduan daripada masyarakat setempat, operasi sama akan diteruskan bagi menangani masalah ponteng solat Jumaat terutama di lokasi yang menjadi tumpuan awam,” katanya.

Sebelum ini, seorang juruandam berusia 36 tahun didenda RM2,600 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu kerana tidak menunaikan solat Jumaat pada April lalu, manakala empat lagi mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama.

Pada 5 Julai lalu, JHEAT turut menahan tujuh lelaki termasuk seorang remaja hasil operasi sama di Pulau Kekabu, Marang, manakala 17 lelaki berusia 15 hingga 37 tahun ditahan di Air Terjun Sekayu, Kuala Berang pada 23 Ogos lalu, memberi alasan mereka musafir ketika ditahan.

Loading...

Leave a Reply