Warga emas maut dirempuh kereta

KEMAMAN – Seorang lelaki warga emas maut manakala seorang wanita cedera selepas dua motosikal berlainan yang ditunggangi masing-masing terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Perdana di Kilometer 113, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Kerteh dekat sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4.15 petang itu, Che Wan Mohd. Noor Che Wan Tahir, 70, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, Che Wan Mohd. Noor yang merupakan seorang tukang sapu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Perpaduan, Kerteh dekat sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, bahagian kiri motosikal Honda Wave yang ditunggangi lelaki warga emas itu dirempuh oleh sebuah kereta yang berada di laluan bertentangan.

“Seorang wanita berusia 25 tahun yang menunggang motosikal Yahama RXZ di belakang kereta berkenaan juga tidak dapat mengelak lalu merempuh kereta itu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, mangsa wanita yang masih belum dikenalpasti identitinya mengalami patah rahang mulut dan telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini untuk mendapatkan rawatan. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply