Portal berita terbaik anda

Utama

Warga asing kembali berniaga di pasar borong

SERDANG – Baru sahaja beberapa hari lepas pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan operasi bersepadu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini, namun kelibat peniaga warga asing dilihat muncul kembali meneruskan perniagaan mereka seperti biasa.

Tinjauan Sinar Harian pada Khamis mendapati golongan tersebut dilihat masih menjalankan perniagaan di pasar borong itu walaupun pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah melaksanakan operasi bersepadu di kawasan berkenaan pada Sabtu.

Situasi itu jelas menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peniaga tempatan yang sudah lama menjalankan perniagaan di situ.

Seorang penjual sayur yang hanya mahu dikenali sebagai Singh menyifatkan pihak berkuasa masih gagal membanteras isu warga asing yang berniaga di Pasar Borong Selangor walaupun beberapa operasi telah dijalankan.

Dakwanya, operasi yang dilaksanakan itu juga gagal kerana ada dalam kalangan peniaga warga asing itu berjaya meloloskan diri sebelum anggota pihak berkuasa tiba di lokasi.

Katanya, ia berkemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab memaklumkan kehadiran pihak berkuasa kepada peniaga warga asing itu menyebabkan mereka sempat melarikan diri.

“Apabila PBT datang buat operasi, mereka seperti sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak lain dan sempat melarikan diri.

“Jadi bila pihak PBT sudah pulang, mereka (peniaga warga asing) akan kembali ke lot gerai dan teruskan perniagaan seperti biasa,” katanya yang sudah berniaga lebih 18 tahun di situ.

Sementara itu, peniaga daging yang ingin dikenali sebagai Jamal mendakwa, ramai warga asing yang berniaga di situ tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah atau berniaga atas tapak kedai orang lain.

Begitupun katanya, dia tidak terkesan dengan kehadiran peniaga warga asing kerana pihak pengurusan di situ sudah mula memilih peniaga yang sesuai berniaga di situ dengan lebih telus.

“Untuk pihak yang memberi sewa kepada peniaga lain, pihak pengurusan akan mengambil tindakan dengan memberi amaran atau menarik balik lot perniagaan mereka.

“Saya berharap pihak pengurusan mencontohi kaedah yang digunakan di Pasar Borong Selayang, di mana peniaga warga asing tidak dibenarkan untuk berniaga sama sekali,” katanya.

Peniaga warga asing di pasar borong di Serdang itu juga dilihat menimbulkan rasa kurang selesa dan kebimbangan dalam kalangan pengunjung pasar tersebut.

Seorang pengunjung yang dikenali sebagai Rusli berkata, dia pernah dimarahi oleh peniaga warga asing kerana tidak membuat sebarang pembelian selepas memilih barang jualan mereka.

Menceritakan pengalamannya, Rusli berkata, peniaga terbabit meluahkan kemarahannya dalam bahasa yang tidak difahami.

“Bila saya tak beli barang jualan, mereka seolah-olah memerli saya dalam bahasa ibunda mereka sambil menjeling,” katanya.

Mengulas lanjut, seorang pengunjung setia pasar borong itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hidayah mendakwa, dia pernah ditipu timbangan ketika membeli barangan daripada peniaga warga asing.

“Apabila saya pulang ke rumah, barulah saya sedar ditipu kerana berat ikan dibeli tidak sama dengan harga yang dibayar,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung Hani, turut berkongsi pengalaman yang kurang menyenangkan ketika membeli sayur daripada peniaga warga asing di pasar borong terbabit

Ujarnya, ada dalam kalangan mereka (peniaga warga asing) yang bersikap kasar dengan pembeli dan tidak telus dalam urusan jual beli.

“Kadang kala ada juga perasaan takut untuk membeli barangan daripada mereka (peniaga asing),” katanya.

Loading...

Leave a Reply