Wanita rugi RM54,000 beli topeng muka

ALOR GAJAH – Gara-gara ingin mendapatkan 3,364 kotak topeng muka untuk dijual, seorang wanita berusia 37 tahun kerugian RM54,000, selepas dipercayai diperdaya seorang wanita yang berjanji menjual alat itu kepadanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang di sini berkenalan dengan seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Nurzatul melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa yang tinggal di Taman Samarinda, di sini, berkomunikasi dengan suspek melalui WhatsApp pada 15 Mac lalu.

“Mangsa ingin membeli 3,364 kotak topeng muka dan diminta membuat bayaran ke akaun CIMB dengan nombor akaun atas nama Rita,” katanya di sini hari ini.

Berikutan itu, mangsa menggunakan wangnya dan beberapa rakannya untuk membuat pembayaran RM54,000 secara berperingkat di CIMB dan Maybank di bandar ini, mulai 16 Mac hingga 17 Mac lalu.

Suspek berjanji menghantar topeng muka itu ke rumah mangsa dengan menggunakan lori pada jam 8 malam 17 Mac lalu tetapi mangsa tidak menerimanya hingga sekarang.

Mangsa yang berasa diperdaya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika membuat urusan pembelian barangan, terutama topeng muka yang mendapat permintaan tinggi berikutan wabak COVID-19 sekarang.

Loading...

Leave a Reply