Portal berita terbaik anda

Utama

Wan Azizah nafi harga barang naik sejak PH memerintah

EKONOMI Malaysia berkembang sebanyak 4.7% sehingga September lalu tanpa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, pencapaian itu tidak jauh berbeza berbanding unjuran 4.9% peratus dalam pembentangan Bajet 2019 pada November tahun lepas walaupun negara terkesan dengan kelembapan ekonomi dunia.

“Malah dalam Bajet 2020 yang dibentangkan dua bulan lepas, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan tahun ini ialah pada tahap 4.7%.

“Pertumbuhan ini juga tercapai tanpa kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan. Ini amat penting bagi memastikan supaya kuasa membeli rakyat tidak terjejas dalam usaha mengembangkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Putrajaya Lift 2019 di Menara Perkeso, Putrajaya hari ini.

Selain daripada itu kata Dr. Wan Azizah, sehingga Oktober lalu, kerajaan berjaya mengekalkan inflasi pada tahap yang rendah, dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya pada tahap 1.1% berbanding Oktober 2018.

“Ini jelas berupa satu manifestasi kerajaan yang berupaya mengurus dan mentadbir ekonomi dengan baik,” katanya.

Justeru, beliau berharap festival berkaitan dengan teknologi kewangan (fintech) dapat memberi pengetahuan dan ruang kepada masyarakat untuk menggunakan teknologi kewangan secara berhemah dan selamat.

“Platfom sebegini sudah tentu memberi ruang dan peluang kepada semua untuk mengenali dan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai fintech.

“Secara tidak langsung, ia dapat membina keyakinan segenap lapisan masyarakat untuk melibatkan diri dalam urus niaga secara maya,” ujarnya. – 28 Disember, 2019.

Loading...

Leave a Reply