Portal berita terbaik anda

Politik

Walaupun dalam satu kapal, kerajaan PH cacamarba – Abdul Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya sebagai sebuah kerajaan cacamarba dalam satu kapal, tetapi penumpangnya menuju ke destinasi masing-masing dengan ada yang hanya sekadar makan angin.

Dalam satu artikel yang disiarkan di Harakahdaily, hari ini, beliau berkata walaupun ada yang hala tujunya ikhlas, tetapi sukar bagi nakhoda memandu kapal, apabila penumpang mendesak supaya dibawa ke arah destinasi masing-masing.

“Adapun parti-parti lain berkonsepkan pragmatik liberal, kapitalis dan sosialis, sehingga menjadikan kerajaannya cacamarba walaupun dalam satu kapal.

“Penumpangnya (pula) menuju ke destinasi yang berbeza hala tuju dan ada yang hanya makan angin tanpa hala tuju.

“Maka kita tidak hairan banyaknya suara yang mahu supaya nakhoda berundur satu demi satu,” katanya tanpa menyebut sebarang pemimpin tetapi jelas merujuk kepada kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Abdul Hadi hala tuju pentadbiran PH hari ini berpusing-pusing dan hanya bersiar di tengah lautan.

“Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam perjalanan asalkan kapal tidak tenggelam, kalau tidak ada yang nakal menebuk kapal,” katanya.

Beliau berkata situasi hari ini menyaksikan kuasa politik yang tidak konsisten dan sejajar terhadap semua kaum dalam masyarakat majmuk, apabila kerajaan tidak bergantung dengan parti yang paling kuat dan berpengaruh dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Kini kita sedang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan, hanya satu parti sahaja yang ahlinya berteraskan umat Islam yang mewakili kaum terbesar dalam demografi penduduk masyarakat majmuk, iaitu parti Bersatu, di mana partinya tidak besar dalam kerajaan.

Justeru, kata Abdul Hadi, meskipun semua wakil rakyat adalah dipilih oleh rakyat dan sebenarnya mewakili rakyat masing-masing dalam masyarakat majmuk, mereka sepatutnya wajib melakukan muhasabah diri demi kepentingan rakyat dan negara secara umum.

Menurutnya, wakil rakyat tidak sepatut memperjuangkan kepentingan kaum kecil atau peribadi yang mempunyai agenda tersendiri tanpa memikirkan kemajmukan masyarakat.

“Kepada yang beragama Islam, kembalilah kepada perpaduan umat Islam bagi menegakkan akidah kepercayaan.

“Kepada yang bukan Islam, tolaklah golongan yang bersikap melampau dan tidak sedar diri di mana bumi tempat dirinya berpijak, bukan kepada asal usul dari mana dia datang,” katanya.

Loading...

Leave a Reply