Portal berita terbaik anda

Utama

Uncle Kentang sedia khidmat bas rombongan kahwin, sewa RM70 sahaja

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau  ‘Uncle Kentang dikenali kerana banyak melakukan kerja-kerja kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan agama.

Jika sebelum ini beliau menyediakan perkhidmatan ambulans dan van jenazah kepada mereka yang memerlukan, kali ini beliau memperkenalkan perkhidmatan bas untuk orang kahwin dengan sewa serendah RM70.

Menurut Chee Heng, bas tersebut disediakan khusus buat mereka yang kurang mampu termasuklah ibu dan bapa tunggal serta keluarga berpendapatan rendah.

“Bas ini ditawarkan hanya kepada warga Puchong sahaja dan untuk perjalanan dalam lingkungan 50 kilometer sahaja.

“Sewa RM70 itu untuk bayar pemandu bas sahaja manakala perbelanjaan lain saya tanggung,” katanya.

Keprihatinan Chee Heng menarik perhatian netizen yang memuji tindakan itu cukup mulia membantu golongan memerlukan.

Jasin Hunter berkata, “Subhanallah, mulianya uncle ni, kebaikan yang dia buat tiada insan yang sebaik ini… tiada motif politik pun apa yang dia buat hidupnya hanya membantu sesama insan. Semoga murah rezekinya dan kesihatan yang baik.”

Mohd Firdaus Suhaimi pula memuji tindakan Chee Heng selain menyifatkan beliau seorang insan istimewa.

“Terbaik uncle kentang, anda satu dalam 1000, 10 dalam beribu-ribu, ratus dalam berjuta-juta manusia. Moga beliau mendapat hidayah.” katanya.

Kunci van jenazah di kedai mamak, kata Uncle Kentang

Bagi memudahkan pengurusan jenazah dilaksanakan 24 jam, aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang telah ‘menggantung’ kunci van jenazah di sebuah kedai makanan yang beroperasi 24 jam.

Menerusi perkongsiannya di akaun Facebook, kunci tersebut ditempatkan di sebuah kedai di Jalan PU 7/4, Taman Puchong Utama, Puchong.

“Tak payah cari merata tempat, kita dan sediakan 24 jam (van jenazah). Minyak penuh, sila ambil buku tulis nama dan nombor telefon di kedai berkenaan, mereka akan serahkan kunci.

“Permudahkan urusan, minyak van sentiasa penuh. Ia disedekahkan kepada orang ramai, ia bukan van saya tetapi kita mudahkan bukan untuk menyukarkan bagi mendapatkan van jenazah,” katanya.

Jelasnya, van jenazah tersebut boleh digunakan jika diperlukan.

“Kedai ini beroperasi 24 jam, jadi sesiapa boleh guna untuk permudahkan urusan si mati. Tidak perlu lagi untuk ketuk pintu sana sini mencari kunci van jenazah,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan supaya ramai bukan sahaja jujur malah perlu memiliki dokumen lengkap sebelum memohon menggunakan van tersebut.

Loading...

Leave a Reply