Portal berita terbaik anda

Politik

‘Umno bawah Zahid tak mungkin berubah’ – Penganalisis

Kemenangan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan Umno menandakan laluan sukar jalan pembaharuan parti bagi menarik semula sokongan pengundi berbilang kaum dalam pilihan raya umum, kata penganalisis politik.

Mereka berkata Umno di bawah kepimpinan Zahid sebagai presidennya akan bersifat agresif, terus berjuang dalam garis perkauman dan tidak bersaing dengan pendirian liberal yang diambil oleh Pakatan Harapan (PH).

Ini akan membuka peluang Umno bekerjasama dengan PAS, kata pengarah eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian.

“Umno akan lebih tertumpu kepada pengundi Melayu dan mempertahankan segmen itu daripada pencerobohan PH, dan ia juga membuka peluang kepada Umno dan PAS untuk meneroka kerjasama pada masa akan datang,” katanya kepada Malaysiakini.

Politik berbilang kaum

“Ini juga bermakna Umno tidak akan meniru pendirian PH yang cenderung lebih liberal ketika ia meneruskan politik berbilang kaumnya itu,” katanya.

“Oleh itu, menjadikan pertandingan (politik bergerak) di sepanjang garis perkauman tetapi Umno akan berhadapan cabaran yang sukar untuk memenangi semula pengundi yang telah menolaknya,” katanya.

Zahid, yang dianggap pemimpin konservatif, diumumkan secara rasmi sebagai Presiden Umno, mengalahkan dua pesaing, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang kelihatan lebih liberal serta bersedia untuk mereformasikan parti itu.

Semasa tempoh kempen pemilihan Umno, Zahid mendakwa kerajaan PH ‘goyah’ dan mungkin jatuh sebelum pilihan raya umum ke-15.

Umno rakan semulajadi PAS

“Kemenangan Zahid memberi isyarat suatu pembangkang yang dengan berat hati enggan berubah tetapi berharap pula untuk mengubah setiap perkara yang lain termasuklah tanggapan pengundi,” kata penyelidik daripada Penang Institute, Wong Chin Huat.

“Di bawah kepimpinan Zahid, Umno sebagai pembangkang akan menjadi oportunis dan bertindak ‘menggembur’ (combative), tetapi tidak reformis,” katanya, merujuk kepada kenyataan Zahid bahawa parti itu boleh kembali berkuasa sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Umno akan melihat PAS sebagai rakan kongsi semulajadi dan boleh bekerjasama untuk menyerang PH berhubung (isu) Islam dan hak Melayu,” katanya.

Hakikatnya Zahid perlu faham PH tidak akan hancur sebelum keruntuhan Umno. Terima kasih kepada sistem ‘pemenang menguasai semuanya’ yang dibina oleh Umno, PH mempunyai banyak kelebihan sebagai pemenang untuk mendorong crossover (perubahan sokongan) daripada Umno,” katanya.

Ramai netizen mencadangkan kemenangan Zahid adalah baik untuk gabungan parti pemerintah, katanya.

Loading...

Leave a Reply