Portal berita terbaik anda

Utama

UM perlu berani, jangan benar pelajar berlagak ‘gangster’

BANGI – Universiti Malaya (UM) sepatutnya mengambil tindakan setimpal terhadap graduan kejuruteraan ‘kurang ajar’ yang telah melakukan provokasi ketika Istiadat Konvokesyenkali ke-59 institusi itu, minggu lalu.

Ahli Dewan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah berkata, beliau berasa terkilan apabila UM tidak menahan skrol dan transkrip akademik atau menarik balik ijazah graduan terbabit.

Katanya, laporan polis sahaja tidak memadai dalam memberi pengajaran kepada pelajar berkenaan.

“Saya rasa sedih sikit, pada saya tidak patut kita berundur, kalau saya sendiri, saya tidak akan teragak-agak walaupun siapa yang masuk campur, saya sanggup berlawan. Laporan polis tak cukup, patutnya mereka mengambil tindakan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin dan provokasi.

“Pada mulanya mereka terfikir mengambil tindakan, tetapi apabila digertak, parti-parti politik tertentu, yang saya anggap parti rasis dan cauvinis yang cukup benci kepada Melayu, mereka berundur,” katanya dalam wawancara Kerusi Panas yang disiarkan di TV Pertiwi.

Mengulas lanjut, Dr Ibrahim menegaskan bahawa UM sebagai institusi pendidikan teratas di Malaysia perlu berani mendepani provokasi seperti ini kerana ia turut membabitkan nasibnya di masa hadapan.

“UM kena berani. Kita berani kerana benar, kalau kita takut macam ni, saya bimbang nasib UM di masa depan akan lebih tercabar. Kerana pada saya, UM bukan sahaja bertanggungjawab dari segi akademik, tetapi juga membentuk peribadi pelajar.

“Pelajar yang dikatakan integrated, syumul, all-rounder. Bukan sahaja bijak, IQ tetapi EQ-nya, yang penting punyai adab sopan,budi bahasa,” katanya.

Beliau berkata, UM bertanggungjawab untuk melatih anak muda yang menuntut di institusi tersebut untuk mempelajari tatasusila.

Dr Ibrahim Abu Shah

Malah, beliau berkata, insititusi itu tidak sepatutnya membenarkan pelajarnya berlagak seperti ‘gangster’.

“Kita tak benarkan sama sekali. VC kena berani mengambil tindakan mengikut peraturan universiti. Tindakan itu mesti diambil setimpal dengan perbuatannya. Dengan kesalahan yang telah dibuat, walaupun saya tahu pelajar tersebut telah graduate, tetapi kita ada hak untuk gantung transkrip beliau. Iaitu kita tak mengakui beliau telah graduate.

“Kalau tindakan kita dipersoalkan oleh mana-mana pihak bahkan ahli politik, jangan layan. Minta maaf saya cakap, ‘go to hell with them’. Tak boleh. Ini satu institusi akademik, kita ada peraturan sendiri tak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana parti politik, apatah lagi kalau kita tau parti politik yang berlatarbelakangkan rasis dan cauvinis,” katanya.

Pada istiadat konvokesyen lalu, Yan Ke membawa plakad ke dalam Dewan Tunku Canselor UM untuk mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’.

Ia dipercayai ditujukan kepada naib canselor universiti itu – yang menurut graduan terbabit – telah menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) UM pada 6 Oktober lalu.

Loading...

Leave a Reply