Portal berita terbaik anda

Dunia

Ular dan kelawar punca wabak virus korona menular di China?

Coronavirus baharu yang tercetus di China, mungkin berasal daripada kelawar atau ular, menurut hasil analisis terhadap genetik virus itu yang sudah meragut 17 nyawa, setakat ini.

Teori itu adalah berdasarkan pemeriksaan terhadap urutan genom virus terbabit yang diberikan pihak berkuasa, dengan dua kajian menunjukkan kemungkinan peranan kelawar dalam wabak terbabit.

Satu kajian diterbitkan pada Selasa dalam jurnal ‘Science China Life Sciences’, meneliti kaitan antara coronavirus baharu itu dengan virus lain, dan mendapati ia berkait rapat dengan jenis yang wujud dalam kelawar.

“Kelawar sebagai hos asli CoV (coronavirus) Wuhan merupakan alasan lebih logik dan mudah, walaupun berkemungkinan terdapat hos pertengahan dalam pemindahan daripada kelawar kepada manusia,” menurut penyelidik daripada beberapa institusi di China dalam kajian itu.

Kajian berkenaan tidak membuat spekulasi mengenai haiwan yang mungkin menjadi ‘hos pertengahan’ itu.

Namun, kajian kedua yang diterbitkan pada Rabu dalam ‘Journal of Medical Virology’ mengenal pasti ia berkemungkinan adalah ular.

Penyelidik terbabit bagaimanapun memberi amaran bahawa rumusan mereka memerlukan ‘pengesahan lanjut oleh kajian eksperimen’ dalam model haiwan.

Kajian itu juga tidak menjelaskan bagaimana virus berkenaan mungkin dipindahkan daripada haiwan kepada manusia.

Begitupun, mereka dapat menawarkan petunjuk kepada pihak berkuasa China yang berusaha keras mengenal pasti sumber wabak coronavirus baharu itu.

Pasar makanan di mana virus terbabit dilaporkan muncul, menjual pelbagai haiwan eksotik, termasuk musang, buaya, salamander gergasi, ular, tikus, burung merak, landak dan daging unta.

Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit China, Gao Fu, berkata pihak berkuasa percaya virus itu berkemungkinan datang daripada ‘haiwan liar di pasar makanan laut’, meskipun sumber sebenar masih belum dapat ditentukan.

Loading...

Leave a Reply