Portal berita terbaik anda

Utama

Tupai digantung dengan tangan, kaki terikat kerana curi durian

TINDAKAN zalim pemilik kebun mengikat dan menggantung seekor tupai sehingga mati pada buluh di kebun durian miliknya, mengundang kurang senang pencinta haiwan.

Kejadian yang tular di Facebook itu menyebabkan netizen marah dan mengecam perbuatan berkenaan.

Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah kebun durian di Pahang minggu lalu dan perbuatan itu dirakam oleh orang awam.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (MAA), Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima gambar berkenaan dan terkejut apabila mengetahui kejadian berlaku di negara ini.

Beliau berkata, MAA dukacita kerana masih ada manusia yang bersikap zalim terhadap haiwan meskipun negara menuju era baharu.

“Tindakan pemilik kebun itu jelas melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang mana individu terbabit boleh didakwa dan dikenakan hukuman.

“Pemilik premis tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan kekejaman ke atas haiwan liar walaupun berlaku di kawasan persendirian.

“Haiwan liar adalah hak di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan kematian haiwan itu perlu dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Arie berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pelaku mengikat tupai itu kerana marah buahnya rosak selain mahu memberi amaran dan menakutkan tupai lain.

“Tindakan itu tidak boleh diterima dan tidak masuk akal.

“Justeru, MAA menawarkan ganjaran RM2,000 kepada saksi yang menyalurkan maklumat mengenai kejadian sehingga pemilik berjaya dijejak, didakwa dan dijatuhkan hukuman,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Perhilitan ketika dihubungi berkata, tindakan penganiayaan terhadap haiwan liar dianggap satu kezaliman, apatah lagi ia disebarkan melalui media sosial untuk tatapan umum.

“Dalam kes ini, Perhilitan pula mempunyai kuasa khusus terhadap kebajikan haiwan liar dilindungi mengikut Seksyen 86 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, berbeza dengan Jabatan Veterinar yang mengambil tindakan terhadap haiwan peliharaan atau ternakan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ibu pejabat Perhilitan terdekat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Loading...

1 Comment

  1. yartsa gunbu

    Rezeki akan jd sempit klau kita kedekut ngan haiwan.
    Apatah lg , menganiaya dia.
    Laknat atas kepala kau , wahai pemilik kebun yg zalim.

Leave a Reply