Portal berita terbaik anda

Utama

‘Tolong jaga budak ini’ – Bayi masih bertali pusat ditemui bersama nota di pintu pagar

GEORGETOWN – Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dibaluti tuala hijau, ditinggalkan di pintu pagar Persatuan Perkembangan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang, Jelutong di sini, malam tadi.

Turut dijumpai bersama bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ialah sekeping nota bertulis ‘Tolong jaga budak ini’.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata bayi itu ditemui lelaki berusia 43 tahun, ketika melawat rakan lamanya di persatuan berkenaan kira-kira jam 7.40 malam.

Beliau berkata, ketika membuka pintu utama berhampiran pagar persatuan, lelaki terbabit terlihat sesuatu yang dibaluti dengan tuala hijau dan ditinggalkan di atas jalan.

“Ketika ditemui oleh lelaki terbabit, bayi berkenaan tidak menangis dan dalam keadaan baik sebelum dibawa masuk ke dalam pejabat persatuan itu bagi dipakaikan lampin dan pakaian.

“Rakan lelaki berkenaan yang berada di bangunan persatuan itu juga turut memberi susu formula kepada bayi terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, bayi berkenaan kemudian dibawa menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan dikesan mengalami jaundis.

Didapati tiada cap jari sempurna dapat dikesan pada nota yang ditinggalkan bersama bayi berkenaan.

“Kamera litar tertutup (CCTV) di situ tidak berfungsi pada hari kejadian, namun ada satu lagi CCTV berhampiran kawasan itu yang dipercayai boleh membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat 019-4735105 atau menerusi WhatsApp rasmi Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut di talian 0195641822 atau ke balai polis yang berhampiran,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Loading...

Leave a Reply