Portal berita terbaik anda

Utama

Tindakan terhadap Nur Sajat akan dikaji

“NANTI dulu, sebab dia baru balik,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang akan diambil terhadap ahli perniagaan, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Nur Sajat.

Mujahid berkata, mereka akan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang atau memberi nasihat.

“Saya perlu melihat dan nilai semua maklumat yang kita dapat. Jika hanya memberi nasihat, tidak bermakna tiada undang-undang, yang penting nak jaga keseluruhan kepentingan masyarakat dan ikut cara Islam yang betul.

“Yang penting tindakan itu akan datang seiring (undang-undang dan nasihat) kerana kita lihat ini pakej rahmah untuk kita tegur,” katanya yang ditemui selepas program Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, terdapat tiga perkara asas yang akan dinilai sebelum sebarang tindakan diambil terhadap Sajat.

“Perkara pertama adalah untuk mengurangkan kerisauan orang ramai, keduanya melihat kepada isi kandungan yang dimuatnaik oleh Sajat. Manakala yang ketiga ia perlu menghormati landasan budaya syariat kita.

“Pada waktu sama juga kalau ada kesalahan dan sebagainya, dia kena betulkan balik dan jangan hanya betulkan sebab nak selamatkan diri, tapi biarlah betulkan dengan insaf,” katanya.

Mengulas berhubung permohonan maaf Sajat, Mujahid berkata ia perlu dibuat dengan betul dan bukan untuk publisiti.

“Ada orang minta maaf tapi tidak insaf. Jadi ia dua benda berbeza, tapi kalau dia minta maaf dan insaf, kita pun tahu dalam Islam dia tidak boleh ulang balik perbuatan itu.

“Dan lebih penting jangan jadikan semua tindakan itu sebagai publisiti. Dia minta maaf pun publisiti, jadi itu memang tak kena bagi saya,” katanya.

Ditanya sama ada Sajat memang khunsa, Mujahid berkata tiada satu pun bukti saintifik yang diberikan menyatakan dia seorang khunsa.

Loading...

Leave a Reply