Portal berita terbaik anda

Utama

Terengganu wujudkan Skim Bantuan Modal Tani tanpa faedah RM5 juta

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM5 juta sebagai kemudahan pinjaman Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) tanpa faedah kepada mereka yang menceburi sektor pertanian, penternakan dan perikanan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, skim bantuan dalam bentuk barangan, perkakas, enjin, anak benih, peralatan dan bantuan kewangan itu akan diuruskan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu.

“Setiap individu layak membuat pemohonan SBMT tidak melebihi RM50,000 atau nilaian kelulusannya bergantung kepada jenis sektor yang diceburi. Tempoh bayaran pinjaman bergantung kepada jenis perusahaan.

“Mereka yang mahu membuat pinjaman perlu berumur 18 tahun hingga 65 tahun, menyediakan lokasi sebagai bukti benar-benar mahu menceburi bidang yang mahu diusahakan,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di pejabat beliau, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Katanya, tujuan kerajaan mengutamakan pinjaman dalam bentuk barangan kerana tidak mahu dana yang diluluskan disalahgunakan oleh peminjam.

“Terdapat beberapa kes sebelum ini, ada individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan wang pinjaman membeli barangan tidak sepatutnya termasuk telefon bimbit dan motosikal.

“Oleh itu, LPPK mengambil sikap berhati-hati mengelak perkara sama berulang,”katanya.

Beliau berkata, buat permulaan, kerajaan negeri bersetuju meluluskan SBMT sejumlah RM5 juta dengan kadar pinjaman tidak melebihi RM50,000 bagi setiap pemohon dan akan menambah peruntukan jika terdapat banyak permintaan.

“Mereka yang berminat untuk berbuat demikian boleh menghubungi LPKK berdekatan mulai 29 Januari ini untuk urusan pengambilan borang, khidmat nasihat dan tunjuk ajar.

“Bagi tujuan itu, kerajaan bersetuju melancarkan SBMT pada tarikh sama iaitu 29 Januari yang akan dirasmikan saya sendiri di Dewan Sivik Jabi,” katanya.

Sumber: teganukita

Loading...

Leave a Reply