Portal berita terbaik anda

Utama

Terengganu isytihar Jumaat hari ilmu, Sabtu hari keluarga

KUALA NERUS – Kerajaan Pas Terengganu mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari ilmu di seluruh negeri ini manakala Sabtu pula merupakan hari keluarga.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengisytiharan itu bertujuan meningkatkan budaya cintakan ilmu dan pentingkan nilai kekeluargaan yang menjadi tonggak utama sesebuah masyarakat maju, berkat dan sejahtera.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memacu tahun 2019 dengan lebih agresif dan proaktif bagi membolehkan rakyat melihat apa yang dirancang serta dikotakan itu bukan sekadar manis di bibir.

“Agenda ekonomi dan kemajuan tiada erti tanpa penerapan nilai sosial, ilmu dan akhlak kepada masyarakat. Ini bertepatan dengan empat teras dalam Bajet 2019 yang menekankan aspek keberkatan, kemajuan, kebajikan dan kecekapan.

“Saya juga mengharapkan tahun 2019 akan menjadi tahun yang lebih baik dan produktif bagi Terengganu dalam semua aspek terutamanya ekonomi, pembangunan modal insan, dan kebajikan rakyat,” beliau berkata demikian dalam perutusan sambutan Ambang Tahun Baharu 2019 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu di Gong Badak di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau bersama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan bersama barisan Exco kerajaan negeri membaca zikir Asmaul Husna beramai-ramai sebaik tiba detik peralihan tahun.

Menurut Ahmad Samsuri, tahun 2018 yang melabuhkan tirainya semalam menandakan pentadbiran kerajaan negeri sudah mencecah usia tujuh bulan, yang juga merupakan fasa pengenalan kepada pentadbiran baharu, namun ia bukanlah sebab untuk mencipta pelbagai alasan.

Katanya, tugas yang digalas merupakan satu amanah dan kerajaan negeri komited untuk melaksanakan manifesto yang telah dijanjikan.

“Hasilnya kita merancang untuk melaksanakan 12 daripada 20 agenda manifesto tawaran kepada rakyat Terengganu pada 2019.

“Sebahagiannya telah pun berjaya dilaksanakan pada tahun lepas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply