Portal berita terbaik anda

Utama

Tepis rasa malu, suami isteri ambil upah melipat, menggosok pakaian sara tiga anak

ENGGAN mengendahkan persepsi negatif masyarakat terhadap pekerjaan yang dilakukan, suami isteri tetap gigih mengambil upah melipat dan menggosok pakaian sejak lima tahun lalu.

Nur Khalidah Mohd Khalid, 28, berkata, dia dan suami Mohd Zairi Mohd Sani tidak malu sekiranya terdapat pihak yang merendahkan pekerjaan mereka, malah lebih mementingkan keberkatan dalam mencari rezeki.

“Bagi saya, rezeki dan gaji adalah perkara yang berbeza. Kita boleh peroleh gaji tetap yang besar tetapi setiap hujung bulan masih tidak cukup.

“Berbanding rezeki pula, ia mungkin sedikit namun, cukup untuk menampung perbelanjaan. Itulah kemanisan hidup yang saya dapat rasai dengan mengambil upah melipat kain.

“Biarlah apa orang nak kata asalkan apa yang saya buat ini boleh memudahkan kehidupan orang lain dan Insya-Allah peroleh rezeki yang diberkati,” katanya kepada Harian Metro, di Shah Alam, hari ini.

Katanya yang mempunyai tiga cahaya mata itu, dia dan suami bersyukur masih diberi kesempatan untuk mencari sumber pendapatan biarpun pekerjaan yang dilakukan tidak popular.

“Apabila bekerja mengambil upah melipat dan menggosok pakaian, kebajikan anak juga terjaga kerana kami mempunyai lebih banyak masa bersama berbanding semasa bekerja tetap dulu.

“Malah, saya boleh tumpukan perhatian kepada ibadah dan dalam masa sama dapat menjadikan pengalaman yang ada sekarang sebagai nilai tambah pada masa akan datang,” katanya.

Nur Khalidah mengambil upah RM10 hingga RM25 bagi melipat baju bergantung kepada saiz bakul dan RM1 hingga RM2 bagi setiap helai baju yang digosok di sekitar Shah Alam.

Perniagaan suami isteri itu turut mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk sekitar Shah Alam yang terlalu sibuk sehingga tidak sempat menguruskan pakaian mereka.

Katanya lagi, bagi mereka yang sedang bergelut mencari pendapatan bulanan, ia bukanlah sesukar yang disangka.

“Saya memulakan perniagaan ini dengan menetapkan bayaran seikhlas hati pada dua tahun pertama dan Alhamdulillah masih mampu menanggung kami lima sekeluarga.

“Jangan terlalu memikirkan keuntungan yang besar, pasang niat dan ikhlaskan hati untuk memudahkan kehidupan orang lain dan peroleh rezeki yang diberkati,” katanya.

Loading...

Leave a Reply