Portal berita terbaik anda

Utama

Tangguh PTPTN bukti kerajaan dengar suara rakyat – Anwar

ALOR SETAR: Keputusan menangguhkan mekanisme pembayaran baharu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuktikan kerajaan boleh dibawa berbincang dalam melaksanakan sebarang keputusan berkaitan kepentingan rakyat.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan yang dianggap positif itu menunjukkan kerajaan kini tidak terlalu sombong dalam memutuskan sebarang hal, sekiranya ia mendapat kritikan rakyat.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden PKR, turut menafikan bahawa keputusan yang dibuat itu menggambarkan kerajaan tidak tegas sebaliknya penangguhan itu dilaksanakan selepas wujudnya perkara berbangkit daripada pihak berkepentingan.

“Apakah satu kelemahan kalau kita buat penyesuaian, saya rasa itu satu kekuatan kerana kita tidak terlalu sombong.

“Maka jika ia ditangguh atau diperbaiki saya anggap satu yang positif dari seorang pemimpin untuk melakukannya, walaupun ada orang anggap ia suatu yang tidak tegas tetapi sebenarnya tidak,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Kepimpinan PH Kedah di sini, hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan mekanisme pembayaran baharu PTPTN akan ditangguhkan setelah mengambil kira keperluan diadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh.

Anwar berkata, pihaknya tidak mahu wujud persepsi bahawa peminjam PTPTN terpaksa menanggung beban hutang lebih teruk selepas negara ditadbir kerajaan PH berbanding Barisan Nasional (BN).

“Ada hal kita lakukan yang kita kena tangguhkan dan dalam soal PTPTN ini supaya jangan ada persepsi di bawah PH, beban membayar hutang lebih teruk daripada keadaan yang dulu.

“Saya percaya inilah pemimpin PH yang mendengar derita rakyat tapi kalau kita nak batal macam dulu (perjanjian) tak boleh terutama dalam peringkat sekarang,” katanya.

Mengenai konvensyen anjuran PH Kedah ini, Anwar berkata pihaknya bercadang untuk melaksanakan program seumpama itu dengan format sama di seluruh negara atas kapasiti PH.

Loading...

Leave a Reply