Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Tak sempat pakai baju raya baharu, kanak-kanak 7 tahun maut digilis lori

KEMAMAN – Keluarga kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut dilanggar lori di Kilometer 172, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Neram di sini hari ini terkilan kerana tidak sempat melihat mangsa bergaya dengan pakaian baharu pada Hari Raya Aidilfitri.

Bapanya, Khairilamru Abdul Rani, 36, berkata, beberapa helai baju-T dan seluar untuk Muhammad Nur Rifqi sudah dibeli isterinya, Nor Hidayah Ramli, 28, pada minggu lalu.

Katanya, ahli keluarga masih lagi terkejut dengan pemergian sekelip mata anak keduanya yang dipanggil angah itu terutama isterinya yang kini hamil lima bulan.

“Saya terima panggilan daripada ibu mertua memaklumkan mereka kemalangan dan apabila sampai saya terkejut tengok anak kami sudah tiada.

“Angah paling rapat dengan isteri dan anak sulung. Sebelum ini dia pernah cakap tidak sabar nak beraya di kampung dan mahu duduk lama di sana sepanjang cuti sekolah sebab ada ramai sepupu untuk bermain,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kemaman.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, mangsa murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Felda Neram 1, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat dilanggar lori arang batu selepas terjatuh dari motosikal ditunggang neneknya.

Sebelum kejadian, mangsa bersama neneknya, Sapor Mad Zin, 59, dan seorang lagi sepupu, Ton Muhammad Shafiq Ilham Ton Mohd. Ali, 7, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Baru Felda Neram 1 dari ladang yang terletak berhampiran.

Khairilamru berkata, anaknya dan cucu-cucu lain sudah biasa menemani nenek mereka ke ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah untuk melihat pekerja ladang bertugas. – UTUSAN

Loading...

Leave a Reply