Portal berita terbaik anda

Politik

Tak perlu PRU, PH yakin dapat kumpul majoriti mudah

PETALING JAYA – Pilihan raya umum (PRU) untuk menentukan kerajaan baharu tidak perlu diadakan kerana Pakatan Harapan (PH) yakin parti gabungan itu memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abd Samad berkata, walaupun angka dimiliki ketika ini tidak mencecah dua pertiga, namun cukup untuk membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah.

“Kita tidak bincang mengenai PRU dan kenapa perlu bazirkan duit rakyat untuk mengadakan PRU sedangkan kita boleh dapat majoriti yang jelas.

“Majoriti dua pertiga adalah perkara lampau dan tidak perlu dibincangkan lagi. Majoriti mudah sudah cukup untuk PH membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH di sini tadi.

Menurutnya, mereka turut membincangkan pelbagai perkara dalam mesyuarat dipengerusikan Ketua Umum PH yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkannya sebagai mesyuarat positif.

Bagaimanapun, Khalid turut menjelaskan mereka tidak menyentuh mengenai calon Perdana Menteri yang akan menerajui kerajaan baharu PH itu

Sementara itu, Timbalan Presiden PAN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ketiga-tiga parti komponen itu mencapai kata sepakat dan perkara itu hanya akan diumumkan esok.

“Kita dah ada keputusan dan keputusannya akan diketahui esok. Kita bincang tentang tiga parti yang masih ada dalam PH dan kita bincang tentang tujuan kita ke istana esok dan kita capai kata sepakat,” katanya.

Loading...

Leave a Reply