Portal berita terbaik anda

Viral

Tak nampak ‘Islamik’, jurumandi jenazah dicemuh kerana berambut panjang

Badan pertubuhan amal, Skuad Pengurusan Jenazah (SPJ) Malaysia meluahkan rasa kecewa selepas salah seorang ahlinya dipandang sinis segelintir masyarakat gara-gara tidak memakai songkok dan berambut panjang.

Dalam satu posting di Facebook, SPJ Malaysia menasihati masyarakat agar tidak memandang seseorang itu dari segi luaran semata-mata kerana ada individu di luar sana yang berpewatakan baik tetapi rupa-rupanya seorang pendusta.

“Ada satu pihak yang tidak berpuas hati dengan ahli skuad kami ini. Kesalahannya di mata mereka adalah kerana dia berambut panjang dan tidak memakai songkok atau kopiah seperti mereka.

“Katanya penampilannya langsung tidak menunjukkan imej sebagai seorang juru mandi jenazah.

“Mungkin bagi mereka penampilan seorang juru mandi jenazah haruslah berserban dan berjubah sepanjang masa, atau bersongkok dan berbaju batik seperti seorang tokoh korporat lagaknya.

“Usah terpedaya tuan-tuan. Hari ini ramai yang berwajah suci tapi dalamannya berdebu.

“Kadang luarannya nampak warak, rupanya dialah pembohong, pembelit dan penipu.

“Ada juga yang berkopiah atau bersongkok sentiasa di kepala, rupanya kaki perempuan dan pengikis harta si isteri,” tulisnya dalam posting tersebut.

Menurut pihknya, lelaki itu dikenali sebagai Nsrul Chan, seorang pelajar di Yaman dan bakal bergelar Al-Hafiz tidak lama lagi.

“Saya sengaja ketengahkan ahli skuad kami yang berambut panjang ini. Sebab hari ini dia dicemuh kerana penampilannya tidak sesuai sebagai seorang tukang mandi jenazah menurut mereka yang berwajah suci.

“Sebenarnya siapa pun kita, yang berhak menilai hanyalah Allah. Begitu ramai orang yang bermasalah dan dipandang seolah ahli neraka tetapi sangat berusaha untuk menjadi ahli syurga.

“Begitu ramai juga ahli syurga kononnya tapi hakikatnya talam dua muka. Kesudahannya kelak hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui,” tulisnya.

Loading...

Leave a Reply