‘Tak mahu anak kami hidup susah’ – Bapa kahwini anak 15 tahun dengan lelaki 44 tahun

PETALING JAYA: Gadis berusia 15 tahun di Kelantan dilaporkan berkahwin dengan lelaki hampir 3 dekad lebih tua daripadanya dalam kes terbaharu perkahwinan bawah umur yang kini mendapat perhatian.

New Straits Times melaporkan akad nikah itu berlaku di Tumpat Julai lalu, selepas Mahkamah Syariah memberi kebenaran.

Ibu bapa gadis itu, yang mempunyai 12 anak lain, berkata mereka merestui perkahwinan anaknya dengan lelaki berusia 44 tahun itu kerana mahu anak mereka memperoleh kehidupan yang lebih baik.

Pasangan itu menguruskan kedai runcit dengan pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan.

“Tiada ibu bapa mahu melihat anaknya hidup susah. Kami tidak mahu anak perempuan kami hidup susah seperti kami, membesarkan 13 anak,” kata mereka.

“Adik-beradiknya semua sudah berkahwin dan kini mempunyai kehidupan sendiri. Kami tahu dia bawah umur, tetapi kami hanya mahu yang terbaik untuknya.”

Kejadian ini berlaku 3 bulan selepas berita seorang lelaki berusia 41 tahun di Gua Musang mengahwini kanak-kanak 11 tahun sebagai isteri ke-3nya.

Peraih getah, Abdul Karim Che Abdul Hamid berkata dia mendapat restu dari ibu bapa kanak-kanak tersebut dan akan memohon sijil perkahwinan apabila “isterinya” mencapai umur 16 tahun, usia perkahwinan yang dibenarkan undang-undang syariah Malaysia.

Sehingga itu, katanya, gadis itu akan tinggal bersama ibu bapanya.

Perkahwinan itu menyebabkan kegemparan apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan usia perkahwinan untuk lelaki dan wanita Islam di negara ini dinaikkan daripada 16 hingga 18 tahun, awal bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula berkata kerajaan akan meminda undang-undang untuk menaikkan umur perkahwinan kanak-kanak perempuan dari 16 hingga 18 tahun.

Kanak-kanak itu akhirnya dihantar kembali ke negara kelahirannya di Thailand dan dikatakan sedang menjalani kaunseling kerana mendapat kecaman hebat berhubung perkahwinannya.

Sementara itu, gadis berusia 15 tahun di Tumpat memberitahu New Straits Times, dia gembira dengan perkahwinannya.

Gadis itu, yang merupakan isteri ke-2 lelaki terbabit, berkata dia tidak kisah dengan pandangan masyarakat terhadapnya.

“Perkara yang paling penting adalah saya bahagia dengan suami saya, dan saya akan cuba untuk membahagiakannya sepanjang hayat saya,” katanya dipetik sebagai berkata.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *