Portal berita terbaik anda

Utama

Syed Amirul pergi jua, meninggal dunia selepas langgar kerbau melintas jalan

KUANTAN – Seorang lagi mangsa kemalangan di Jalan Kampung Lamir – Kampung Ubai Pekan kelmarin, disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) awal pagi ini.

Mangsa, Syed Amirul Hidayat Syed Kamarulzaman yang berasal dari Kampung Pulau Serai dekat sini dilaporkan mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala akibat daripada rempuhan tersebut.

Kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu turut mengorbankan seorang lagi mangsa di lokasi iaitu Muhammad Faisal Ramli dari Permatang Badak, Kuantan.

Dalam kejadian jam 9.00 malam itu, Muhammad Faisal yang menunggang dari arah Pekan, tidak sempat mengelak kerbau yang melintas jalan secara tiba-tiba.

Selepas dilanggar, kerbau yang sama telah bangun dan melompat penghadang besi ke jalan di sebelah arah Kuantan ke Pekan. Dalam masa yang sama kerbau dilanggar pula oleh Syed Amirul Hidayat.

Orang ramai dinasihatkan berhati-hati melalui Jalan Kuantan – Pekan terutamnya laluan Kampung Ubai dan Kampung Lamir, kerana banyak haiwan ternakan terutamanya kerbau sering berada di atas jalan pada waktu malam.

Sementara itu, NGO Angkatan Pembela Rakyat (Angkara) hari ini menggesa pihak kerajaan menggubal akta dan undang-undang bagi mendakwa pemilik yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di atas jalanraya hingga menyebabkan berlaku kemalangan maut.

Penyelaras Angkara, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, sudah tiba masanya mereka ini dibawa ke muka pengadilan.

“Mereka gagal menyediakan kandang atau tempat tinggal untuk haiwan terbabit terutamanya pada waktu malam.

“Akibatnya, banyak dilihat haiwan seperti kerbau, lembu, kambing dan sebagainya bebas berada di atas jalanraya.

“Jika haiwan seperti harimau, gajah, babi hutan dan sebagainya.. itu kita boleh kita sebagai haiwan liar dan tidak bertuan. Tapi macam kerbau, lembu dan kambing ini, ia adalah haiwan ternakan yang bertuan. Maka, bila berlaku kes kemalangan langgar haiwan terbabit, pemiliknya harua didakwa akibat cuai,” katanya.

Salam takziah untuk keluarga kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian ini. Al-Fatihah.

Loading...

Leave a Reply