Portal berita terbaik anda

Utama

Langgar Rindu persinggahan percuma musafir untuk beribadat

SETIU – Surau kayu dinamakan Langgar Rindu di Kampung Rhu Tapai, Merang hasil keringat dan kudrat tulang empat kerat dibina untuk diabadikan sebagai rumah ibadat bagi komuniti setempat serta persinggahan bagi mereka yang bermusafir untuk menunaikan solat.

Surau berukuran 1,064 kaki persegi milik penggiat seni, Abdul Karim Embong, 60, yang dipasak dan disambung menggunakan skru itu menjadikan kayu pokok tembesu terbuang serta kayu cengal hasil sumbangan orang ramai sebagai bahan binaan asas.

Lebih menakjubkan, kerja-kerja pembinaan surau yang dibina tanpa sebarang lakaran pelan itu bermula sejak Mac 2014 dam kini sudah 70 peratus siap.

“Bukan mudah untuk menyiapkan sebuah surau sebegini tanpa peralatan mencukupi dan hanya menggunakan tulang empat kerat. Saya pula bukan seorang yang mahir sangat dalam ilmu pertukangan.

“Ada kalanya pembinaan surau ini tergendala kerana masalah kewangan, namun saya bersyukur kerana niat saya untuk membina rumah ibadat ini mendapat sokongan daripada individu yang prihatin dan dermawan yang tampil menghulurkan sumbangan wang tunai atau bahan binaan.

“Terbaru, saya terima kayu tembesu berusia sekitar 300 tahun yang akan saya guna untuk tambah kira-kira 280 kaki persegi lagi pada bahagian surau ini,” katanya yang menganggarkan nilai keseluruhan binaan surau itu mencecah RM100,000.

Berbaju lusuh dan bertongkat, Abdul Karim atau lebih mesra disapa sebagai pok su berkata, berkat sokongan banyak pihak termasuk anak-anaknya membantu merealisasikan impian untuk membina surau itu.

Abdul Karim Embong

Selain surau untuk kemudahan komuniti setempat, aktivis seni itu juga sedang membina sebuah pusat pengajian Islam dinamakan Madrasah Al-Insan Saka Iman berhampiran surau itu bagi menempatkan seramai 50 orang pelajar untuk mendalami ilmu agama.

Abdul Karim turut berkongsi inspirasi sehingga mendorong beliau menamakan surau miliknya itu sebagai Langgar Rindu.

Katanya, gelaran itu agak jarang digunakan masyarakat Melayu sebaliknya terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu dagang terdiri daripada suku kaum Boyan.

“Langgar mempunyai empat makna antaranya pelanggaran, surau atau madrasah, tempat pengajian agama, kawasan pemakaman diraja serta bumbung rumah mempunyai anjung disambung dari bumbung asal.

“Jadi, bagi memperkayakan dan mencantikkan lagi bahasa kita, saya memilih untuk menggelar rumah ibadat ini sebagai langgar yang bermaksud surau,” katanya.

Menurutnya, Rindu pula bermaksud rindu kepada rumah ALLAH SWT, rindu untuk beramal sebagaimana ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Selain itu, rindu untuk membaca al-Quran, rindu kepada kematian serta rindu untuk membuat segala kebaikan. Jadi, saya abadikan nama ini untuk sebuah rumah ALLAH SWT yang saya namakan Langgar Rindu,” katanya.

Keunikan reka bentuk Langgar Rindu sebagai persinggahan untuk menunaikan ibadat mendapat tumpuan ramai.

Sementara itu, anaknya, Muhammad Alif, 31, berkata, bapanya menyuarakan hasrat untuk membina surau itu sejak 2010, namun dia tidak menyangka bapanya mampu membina surau itu yang dibina tanpa sebarang lakaran.

“Ayah saya seorang yang ‘degil’ dan bersemangat tinggi. Saya masih ingat dia masuk ke hutan seorang diri untuk tebang pokok, kutip batang pokok terbuang yang ditinggalkan malah angkut sendiri batang kayu atas bumbung kereta.

“Mujurlah ada juga beberapa individu yang datang menghulurkan bantuan dari segi tenaga untuk ayah saya membina surau ini hingga ke tahap ini.

“Tak sangka pula surau ini kini mendapat perhatian dan tumpuan ramai kerana apa yang dibuat ini bukan untuk mengejar populariti atau sebaliknya, hanya untuk kemudahan komuniti setempat di kampung ini,” katanya.

Loading...

Leave a Reply