Portal berita terbaik anda

Politik

Sudah tiba masanya Umno, Pas bergabung – Tajuddin

SUNGAI MANIK – Umno dan Pas perlu bergabung pemikiran dan tenaga untuk mewujudkan satu blok baru yang kuat, berperanan menjaga kepentingan Melayu.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, meskipun dua parti itu mempunyai kaedah politik berbeza, namun masih punya persamaan dalam memperjuangkan hak Melayu dan Islam.

Menurutnya, gabungan itu diyakini boleh memberi cabaran besar kepada kerajaan Pakatan Harapan dan penyokongnya yang sejak akhir-akhir ini mula berani menyuarakan desakan yang menghina kaum dan agama.

“Isu dan tuntutan yang dibuat dalam tempoh satu dua minggu ini agak mengancam survival umat Islam, ini bahaya kepada kita.

“Saya fikir orang Pas pun dah sedar sekarang ni, akar umbi juga sedia untuk kerjasama, ada ruang-ruang yang boleh dilakukan tanpa perlu tunggu jangka waktu yang lama.

“Jika terus nak tunjuk kehebatan masing-masing, kita tak akan berupaya hadapi tentangan lawan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Umno Bahagian Pasir Salak, malam tadi.

Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, melihat kemenangan kerusi Pas dan Umno baik di peringkat negeri mahupun Pusat, dua parti itu sebenarnya boleh menjadi gabungan kuat.

“Cara Umno kini kena berubah, harus lebih pintar dalam menggunakan kaedah baru, satu daripadanya mencari rakan seperjuangan.

“Sebagai pembangkang pun, jika Umno dan Pas bergabung satu semangat, satu hati pasti akan dapat beri saingan kepada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply