Portal berita terbaik anda

Politik

SPRM akan panggil Zahid esok kes dana yayasan, Putera Arab

BANGI – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menang jawatan Presiden UMNO semalam, bakal dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok, berhubung tuduhan menyalahguna dana sebuah yayasan untuk kepentingan peribadi.

Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri sebelum Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pentadbiran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, juga akan diminta memberi keterangan berhubung pertemuannya dengan keluarga diraja Arab Saudi yang didakwa menderma wang kepada Datuk Seri Najib Razak.

The Star melaporkan Zahid adalah pengerusi sebuah yayasan yang didaftarkan pada 1997 dan memainkan peranan menerima dan mengurus dana bagi membasmi kemiskinan.

Memetik sumber, laporan itu menyatakan Zahid akan diminta memberi penjelasan berhubung tuduhan dana yayasan itu digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000.

“Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang kebenaran terhadap tuduhan bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menggunakan dana yayasan untuk kegunaan peribadi,” kata sumber itu.

Difahamkan, SPRM memperoleh beberapa dokumen menunjukkan transaksi bayaran kepada beliau dan isterinya.

“Penyiasat juga akan menyoal berhubung kenyataan dibuatnya mengenai pertemuan dengan Putera Arab Saudi. Kami hendak mengetahui lebih lanjut mengenai individu yang beliau temui itu dan apa yang berlaku ketika pertemuan itu,” kata sumber berkenaan.

Pada 22 Ogos 2015, ketika merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Sri Gading, Zahid berkata, beliau bertemu keluarga Arab Saudi yang menderma AS$700 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Tanpa menamakan keluarga terbabit, Zahid berkata, keluarga berkenaan memberi derma itu kerana Malaysia komited untuk memerangi keganasan dan menjadi negara Islam sederhana dengan masyarakat majmuk.

Loading...

Leave a Reply