Portal berita terbaik anda

Utama

Sokong kempen BMF, timbalan mufti Perak dipanggil beri penjelasan

KERAJAAN negeri Perak akan memanggil Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim untuk memberi penjelasan berhubung penglibatan dalam pelancaran kempen Buy Muslim First (BMF).

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, kerajaan negeri kesal dengan penglibatan Jabatan Mufti Negeri Perak terhadap kempen tersebut.

Tegas beliau, al-Quran menekankan halalan thoiyyiba atau halal dan baik, bukan produk Muslim, kata Asmuni dipetik portal Sinar Harian.

“Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim yang dijadualkan merasmikan pelancaran program itu semalam akan dipanggil pada Isnin depan untuk memberikan penjelasan,” menurut laporan itu yang memetik Asmuni.

Mengulas mengenai kempen BMF itu, Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Perak dipetik sebagai berkata:

“Apabila bercakap mengenai barangan halal secara automatik merangkumi barangan Muslim dan bukan Muslim tidak berkecil hati kerana kita beri peluang kepada semua untuk mendapatkan sijil halal.”

Beliau berkata, kempen BMF turut memberi kesan kepada jualan hasil ladang produk Muslim kerana kebanyakan pemborong berketurunan Cina.

“Mereka takut nak beli kerana orang Melayu hanya beli produk Muslim sedangkan barang yang diborong itu diperoleh daripada peniaga Muslim,” katanya.

Semalam, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu menghalang kempen BMF di masjid di Perak.

Pengerusinya, Khalil Idham Lim Abdullah berkata, ada pihak menganggap kempen berkenaan bersifat politik sedangkan ia digerakkan atas kesedaran orang Islam.

Sementara itu, Zamri yang dihubungi mengesahkan pejabatnya menerima undangan untuk bertemu dengan Asmuni pada petang semalam.

Menurutnya, beliau akan hadir pada pertemuan yang dijadualkan pada Isnin nanti.

Loading...

Leave a Reply