Portal berita terbaik anda

Utama

Siaran Arsenal di China ditarik susulan komen Ozil

PERMAINAN Arsenal menentang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris malam ini tidak akan disiarkan secara langsung oleh siaran rasmi kerajaan China, CCTV.

Ia susulan komen oleh bintangnya Mesut Özil yang mengkritik layanan terhadap masyarakat etnik minoriti Uighur di Xinjiang, China.

Lapor agensi berita Bloomberg, CCTV sebaliknya akan menyiarkan semula permainan Tottenham Hotspur, yang merupakan saingan terbesar Arsenal, bersama Wolverhampton Wanderers.

Pada Jumaat, Özil mengeluarkan kenyataan menerusi laman sosial yang mendakwa umat Islam hanya berdiam diri berhubung penindasan etnik Uighur di China.

“Quran dibakar.. Masjid ditutup.. Sekolah teologi Islam, madrasah diharamkan.. Ulama dibunuh seorang demi seorang.. Namun begitu, umat Islam semua berdiam diri,” katanya dalam kenyataan berbahasa Turki itu.

“Tidakkah mereka tahu bahawa membiarkan penganiayaan itu sendiri adalah satu penganiayaan? Saidina Ali, menantu Nabi Muhammad berkata, ‘Sekiranya anda tidak boleh elak penganiayaan, dedahkannya,” tegas Özil.

Susulan itu, Arsenal mengeluarkan kenyataan di media sosial China, Weibo, menyatakan pihaknya tidak ada kaitan dengan pendirian disuarakan oleh pemainnya.

“Berhubung komen oleh Mesut Özil pada media sosial, Arsenal perlu membuat kenyataan jelas.

“Kenyataan itu merupakan pandangan peribadi Özil. Sebagai pasukan bola sepak, Arsenal sentiasa berpegang kepada prinsip untuk tidak mencampuri hal politik,” tegas kenyataan kelab itu berdasarkan akhbar The Guardian.

Namun, tiada kenyataan diberikan oleh Arsenal susulan komen oleh pemainnya Hector Bellerin yang menggunakan bahasa kasar terhadap Perdana Menteri Boris Johnson hanya beberapa hari sebelum itu.

Pada tahun lepas, seorang pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan yang menuduh China telah menahan secara paksa kira-kira sejuta umat Islam di kem ‘pendidikan dan latihan vokasional’ di Xinjiang.

Terbaharu, seorang pegawai pentadbiran kerajaan Xinjiang pada awal bulan ini mendakwa semua yang dikatakan ditahan di kem tersebut merupakan pelajar yang mengikuti pendidikan vokasional dan telah lulus program mereka.

Namun begitu, golongan aktivis mempersoalkan kebenaran di sebalik kenyataan itu kerana tiada perincian diberi, misalnya mengenai jumlah tahanan atau pelajar yang terlibat, jumlah kem latihan serta apa yang berlaku selepas mereka keluar.

Loading...

Leave a Reply