Portal berita terbaik anda

Politik

Shahrir pertahan wang tunai dalam kondo, dakwa untuk PRU

WANG tunai yang dijumpai di beberapa unit kondominium Pavilion Residences yang dikaitkan dengan Najib Razak adalah untuk kegunaan pilihan raya, kata bekas ahli Parlimen Johor Bahru Shahrir Samad.

Beliau memberitahu sidang media hari yang wang tunai itu diperlukan “untuk menggerakkan jentera pilihan raya,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

“Jika kamu memerlukan dana tambahan untuk pilihan raya, kamu beri cek, ia akan terlambat.

“Orang tanya kenapa mesti wang tunai? Ini kerana tidak semua kawasan (Umno) mempunyai (akaun) bank.

“Mereka yang mengkritik kadang-kala melakukan perkara yang sama juga,” katanya.

Shahrir juga mendakwa wang tunai yang dirampas polis semasa melakukan serbuan di Pavilion Residence itu adalah baki untuk dana pilihan raya Umno.

Polis menyerbu tiga unit kondominium mewah di Kuala Lumpur, seminggu selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 9 Mei. Najib kemudian meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN serta Umno.

Serbuan itu dibuat sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas Najib dan dakwaan penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad mengikut akta anti pengubahan wang haram.

Selain 284 kotak berisi beg tangan mewah, polis turut merampas 72 bagasi, yang mana 35 daripadanya berisi wang tunai pelbagai mata wang asing yang keseluruhannya berjumlah RM114 juta.

Unit Komunikasi Strategik Umno mendakwa wang tunai tersebut adalah milik parti. Polis berkata siasatan harus dijalankan bagi menentukan pemilik sebenar wang tunai tersebut.

Loading...

Leave a Reply