Portal berita terbaik anda

Utama

Sesak nafas, Ahli Parlimen Padang Besar dimasukkan ke CCU

AHLI Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, selepas sesak nafas ketika bangun dari tidur, pagi tadi.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Ruzaini Rais berkata, bekas Pengerusi RISDA itu mengadu kepada isterinya dia sakit di dada pada 5 pagi tadi di rumahnya.

“Saya baru pulang dari HTF dan dimaklumkan oleh isterinya bahawa Datuk Zahidi secara tiba-tiba sakit dada dan mengalami kesukaran bernafas sebelum dikejarkan ke hospital.

“Dia kini diletakkan di bawah pengawasan pakar di Unit Penjagaan Jantung (CCU) HTF dan diberikan ubat tidur.

“Terbaru saya dimaklumkan dia kini sudah stabil cuma tidak pasti punca sebenar sakit dada dan sakit yang dialaminya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ruzaini berkata, Zahidi tidak dibenarkan menerima pelawat dari luar dan hanya ahli keluarga sahaja yang dibenarkan masuk melawat.

Zahidi berusia 58 tahun dilantik menjadi Ahli Parlimen Padang Besar sejak 2013.

Sebelum itu, kerusi terbabit disandang oleh bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.

Beliau yang kini Ketua UMNO Bahagian Padang Besar dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis pernah menjawat jawatan EXCO negeri sewaktu menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri dan Ketua Pemuda UMNO Perlis.

Loading...

Leave a Reply