Portal berita terbaik anda

Politik

Sertai PPBM, Tok Pa diibarat pejuang sebenar

SHAH ALAM – Keputusan bekas Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memilih untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) disifatkan sebagai perjuang sebenar.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Abu Bakar Yahya berkata, selepas BN kalah pada PRU14 lalu, ahli Parlimen Jeli itu boleh duduk diam sebagai pembangkang, bagaimanapun beliau berani membuat pengorbanan untuk memilih PPBM.

”Walaupun tahu bakal berhadapan dengan kritikan dan tomahan daripada BN dan Umno, tetapi Tok Pa sanggup mengambil risiko itu dan percaya tindakannya itu selepas melihat kesungguhan kerajaan memulihkan semula negara.

”Jika tidak, mustahil beliau sanggup meninggalkan Umno yang lebih 40 tahun disertainya sebelum ini. Ini kerana beliau amat yakin dengan kepimpinan (Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas penyertaan Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ke dalam PPBM selepas menyerahkan borang keahlian kepada pengerusi parti itu, Dr Mahathir, semalam.

Dalam masa yang sama, Abu Bakar berkata, PPBM melihat kemampuan Mustapa dari segi kepakaran ekonomi juga berpotensi untuk membantu kerajaan yang dalam proses menjadikan semula Malaysia sebagai Harimau Asia.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Akramsyah Muamar Ubaidah Sanusi berkata, Mustapa bukan sahaja terkenal dengan ketokohannya tetapi juga pengalaman dalam ekonomi, pentadbiran dan politik.

Menurutnya, beliau yakin keupayaan bekas itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Di peringkat kerajaan, kepakaran beliau sebagai soal ekonomi yang selesa baik di Kementerian Kewangan mahupun Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mampu membantu dalam penyelesaian hutang negara serta menarik pelaburan asing, khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.

“Di alam politik pula, beliau mampu memperkasakan PPBM di Kelantan di mana beliau pernah hampir merampas negeri tersebut dari Pas sebagai mantan Pengerusi Umno Negeri.

“Saya yakin kepimpinan parti akan mengenal-pasti tempat terbaik bagi beliau dalam parti yang kini sedang melaksanakan rombakan di beberapa peringkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Loading...

Leave a Reply