Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Sempat sambut hari jadi anak sebelum maut

JOHOR BAHRU – Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sempat meraikan sambu­tan hari jadi anak sulungnya sebelum maut dalam nahas jalan raya, semalam.

Laskar Kanan Mohd. Rizal Buseri, 31, maut dalam nahas jalan raya di Jalan Harimau Ta­rum berhampiran Plaza Pelangi, dekat sini.

Kakak ipar mangsa, Nor Farahana Amir berkata, kelmarin, mereka sekeluarga bersama-sama menyambut ulang tahun anak sulung Mohd. Rizal yang berusia lima tahun.

Katanya, pada majlis itu, arwah adik iparnya dilihat tidak banyak bercakap seperti selalu.

“Sebelum kejadian, Mohd. Rizal dalam perjalanan pulang ke Bandar Tenggara selepas menghantar bapa mentuanya menghadiri mesyuarat di sebuah hotel di sini.

“Dia kemudian memandu kereta pulang ke rumah di Bandar Tenggara, Kulai sebelum kami mendapat berita dia kemala­ngan,” katanya di sini semalam.

Nor Farhana berkata, Mohd. Rizal yang merupakan anggota TLDM di pangkalan KD Sultan Ismail, Pengerang meninggalkan balu, Nurul Asyiken Amir dan tiga anak berusia enam bulan hingga lima tahun.

“Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tenggara, Kulai selepas solat Asar dengan istiadat ketenteraan,” katanya.

Kemalangan kira-kira pukul 8.30 pagi itu melibatkan tiga kereta jenis Honda Accord, Pero­dua Myvi dan Proton Saga berhampiran simpang empat di Plaza Pelangi.

Dalam kejadian itu, mang­sa yang memandu Honda Accord maut di tempat kejadian manakala dua pemandu lain iaitu wanita berusia 23 tahun dan seorang warga emas mengalami cedera ringan.

Terdahulu, satu video tular dalam media sosial yang dirakam seorang pemandu lain memaparkan pemandu kereta Myvi dilihat memecut laju sebelum merempuh Honda Accord itu.

Menurut kenyataan Polis Daerah Johor Bahru Selatan, pemandu Myvi ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pemandu berusia 23 tahun itu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati positif dadah menerusi saringan air ken­cing. – UTUSAN ONLINE

Loading...

Leave a Reply