Portal berita terbaik anda

Utama

Semoga Allah membalas jasa anda semua

“SAYA bukan tidak menghargai sumbangan diberikan tetapi apa yang diterima setakat hari ini sudah cukup, jadi saya minta bantu orang lain yang lebih memerlukan,” kata kata mualaf, Mardinah Dabe Martin, 35.

Menurut Mardinah, sumbangan diterima sudah cukup untuk mereka sekeluarga selepas kisah mereka dilaporkan.

“Syukur Alhamdulillah, kami tidak putus-putus menerima bantuan dan saya terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia.

“Saya orang susah, derma yang diterima setakat ini sudah cukup untuk kami lima beranak.

“Jadi kalau ada yang mahu menyumbang, saya harap ia diberikan kepada mereka yang senasib dengan saya,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Perumahan Rakyat Jaya di Dungun, hari ini.

Menurutnya, duit sumbangan yang diterima itu akan digunakan sebaik mungkin untuk perbelanjaan keluarganya termasuk membiayai pendidikan anak-anaknya.

“Saya juga akan menyimpan sumbangan itu ke dalam akaun simpanan empat anak demi masa depan mereka sekiranya saya tiada.

“Perasaan saya juga bercampur baur kerana mereka yang hadir bukan hanya menghulurkan bantuan seperti kewangan atau keperluan harian tetapi memberi sokongan moral dan kata-kata semangat untuk saya menjaga dua anak yang hiperaktif,” katanya.

Katanya, dia turut berterima kasih kepada semua pihak yang menyiarkan kisahnya termasuk Persatuan Karyawan Terengganu, Kelab Motosikal Freedom Riders dan Kelab Fisabilillah Terengganu yang turut membantu.

“Terima kasih kepada semua jiran dan agensi kerajaan seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, kerajaan pusat, kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, Bank Rakyat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta agensi lain dan orang perseorangan yang banyak membantu.

“Saya tidak dapat membalas jasa anda semua selain hanya mampu berdoa semoga Allah SWT membalasnya dengan ganjaran pahala yang besar, ” katanya.

Selain itu, Mardinah berkata, dia juga akan mengadakan majlis kesyukuran dalam tempoh terdekat menggunakan sumbangan yang ada.

“Saya akan jemput semua jiran dan penduduk di taman ini dan saya akan berbincang dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk membantu saya menguruskan majlis ini.

“Barangan makanan seperti beras, tepung gandum, gula dan minyak masak antara barangan yang paling banyak disumbangkan dan ia juga akan saya beri kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.

Penderitaan Mardinah mendapat perhatian selepas kisah dua anaknya, Muhammad Farish Irsyad, 10, dan Nur Farah Insyirah, 12, mencari makanan di dalam tong sampah di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Dungun tular di laman sosial.

Dua anaknya yang lain, Muhammad Irfaezd dan Muhammad Farish Irdyad yang hiperaktif pula tidak boleh ditinggalkan bersendirian di rumah sehingga menyebabkan wanita terbabit sukar keluar dari rumah termasuk membeli makanan.

Loading...

Leave a Reply