Portal berita terbaik anda

Utama

‘Saya jual goreng pisang sebelum jadi doktor’ – Tun M

KUALA LUMPUR: Sebelum menjadi doktor, Tun Dr Mahathir Mohamad menjual goreng pisang sebagai ‘pekerjaan’ yang pertamanya.

Selain menjual pisang goreng, Perdana Menteri juga menjual kayu api di Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah untuk mencari pendapatan kerana keluarganya miskin ketika penjajahan Jepun pada masa itu.

Beliau menjual pisang goreng di Pekan Rabu antara tahun 1942 hingga 1943.

“Pekerjaan pertama saya ialah jual pisang goreng, jual di Pekan Rabu. Itu pekerjaan saya yang pertama. Pada masa itu zaman Jepun kita miskin, kita buat cara miskin.

“Kerja tidak ada. Saya belum jadi doktor masa itu. Selain jual pisang goreng, saya juga jual kayu api di Pekan Rabu,” kata Perdana Menteri ketika ditemubual secara eksklusif oleh Geng Pagi Hot (GPH) iaitu Shuk, Shuib dan Fizie.

Ketiga-tiga penyampai radio terbabit berpeluang bertemu dan menemubual pemimpin nombor satu negara itu di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, pada 9 Oktober lalu.

Rakaman temubual bersama Perdana Menteri disiarkan di stesen radio terbabit pada jam 6 pagi hingga 10 pagi tadi.

Pada zaman pemerintahan Jepun, keluarga Dr Mahathir terutama ibu bapanya hilang punca pendapatan kerana dipaksa berhenti bekerja daripada kerajaan.

“Abang saya berhenti kerja, saya tidak mempunyai bekalan apa. Ibu bapa pun tidak dapat pencen maka saya kena bekerja. Kerja masa itu tidak banyak, maka saya jual pisang goreng dan jual kayu api,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.

Dr Mahathir mula berkhidmat sebagai pegawai perubatan sebelum tahun 1954 dengan memperoleh gaji RM400 sebulan.

“Selepas setahun sebagai ‘houseman’ (doktor pelatih), barulah dapat RM730 sebulan,” katanya.

Ketika berkongsi kenangan pada hari pertama membuka kliniknya, Klinik Maha di Alor Setar pada tahun 1957, Dr Mahathir berkata pesakit yang mendapatkan rawatan hanya 10 orang saja.

“Klinik pun saya tumpang. Abang ipar ada bagi duit sikit dan kawan saya seorang peniaga Haji Rejab, dia ada kedai dan saya sewa sebelah kedai dia,” katanya.

Berkenaan perjalanan jadual hariannya, Perdana Menteri berkata, beliau bangun sekitar jam 6.30 pagi dan selepas bersiap, akan pergi ke pejabat pada jam 8 pagi serta terus bekerja sehingga malam.

“Biasanya saya ada janji temu dan kadang-kadang menghadiri majlis makan. Saya hadir bukan disuruh makan, tetapi (mereka) nak suruh beri ucapan dan ada yang nak tanya soalan. Itu pun dikira bekerja juga. Hampir setiap hari begitu,” katanya.

Loading...

Leave a Reply