Saya bukan menteri tak guna, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof hari ini menafikan dakwaan peguam dan aktivis, Siti Kasim bahawa beliau seorang ‘menteri yang tidak berguna’ (Minister of Useless Functions).

Ini selepas wawancara Mujahid dalam rancangan BBC Hard Talk.

Pada sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini, Mujahid berkata Siti Kasim boleh bercakap apa saja.

“Ini negara bebas, dia bebas untuk mengkritik apa yang difikirkannya tidak betul.

“Bagaimanapun, pada akhirnya dia harus menyatakan bahawa kami telah banyak melakukan pembaharuan, terutama dalam sektor pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim),” kata Mujahid ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

“Salah satu kejayaan utama kami ialah kami berjaya membawa konsep islam belas kasihan,” tegasnya.

Mujahid berkata jemputan BBC Hardtalk untuk menebualnya merupakan pengiktirafan terhadap usaha kementeriannya untuk memperomosikan dasar Islam Rahmatan lil Alamin .

“Faktanya, kami memberi syarahan di Universiti Cambridge, dan saya dijemput menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Kuala Lumpur baru-baru ini akan menyanggah semua istilah yang digunakan Siti terhadap saya dan kementerian saya,” katanya.

Pada 16 Nov lalu, Siti, yang baru-baru ini melancarkan NGO liberal Yayasan Bertindak Untuk Keadilan Malaysia (Maju) berkata dalam siaran Facebooknya, Mujahid dalam wawancara BBC gagal menyatakan bagaimana kementeriannya menangani isu-isu peningkatan ekstremisme agama dalam negara.

Siti mendesak Mujahid untuk meletak jawatan dan menutup Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana membazirkan wang pembayar cukai.

Ketika wawancara BBC yang dihoskan oleh Zeinab Badawi, Mujahid disoal mengenai isu seperti menyatakan pendakwah kontroversial Zakir Naik sebagai “inspirasinya”, rusuhan di kuil Seafield dan layanan Malaysia terhadap penganut Syiah.

Ditanya BBC mengenai hukuman sebat oleh pihak berkuasa Islam yang bertentangan dengan gagasan Islam yang penuh kasih sayang, Mujahid berkata kementeriannya sedang meneliti undang-undang sedemikian.

“Ini semua telah ditetapkan dalam perundangan Islam, sama ada hukumannya sebat, denda atau penjara.

“Apabila kami mengambil alih, kami meneliti semua undang-undang yang ada dan telah menubuhkan petugas khas undang-undang syariah dan sivil.

“Orang ramai perlu tahu hal ini, bahawa kami beralih daripada kaedah menghukum kepada undang-undang yang memulihkan, untuk memberikan peluang kepada pesalah supaya dapat membetulkan dirinya.

“Sekarang saya tidak boleh melakukan perkara itu kerana tiada peruntukan dalam undang-undang untuk melakukannya,” jawab Mujahid.

Mujahid melahirkan kebimbangan mengenai kaedah menghukum sedia ada dalam perundangan Islam, berkata kementeriannya akan berpandukan prinsip Islam yang penuh belas ihsan apabila membuat pembaharuan.

“Ia adalah suatu wilayah besar, jadi jika ada yang mengatakan saya telah gagal, ia tidak praktikal.

“Kami menyasarkan untuk melaksanakan reformasi pada pertengahan tahun 2020,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Mujahid berkata akan cuba untuk melaksanakan pembaharuan tersebut di Wilayah Persekutuan memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Negeri-negeri lain mengikut undang-undang negeri mereka tetapi sekurang-kurangnya kami menetapkan penanda aras.

“Kami telah bercakap dengan Yang di-Pertuan Agong dan pengarah Jakim negeri yang sedar mengenai langkah ini,” jelasnya lagi.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *