Portal berita terbaik anda

Utama

Rumah bagai reban ayam, pasangan OKU ini perlu bantuan

JIKA dilihat dari jauh, kediaman yang dihuni pasangan suami isteri berstatus orang kurang upaya (OKU) dalam kategori lembam bersama dua anaknya seakan sebuah reban ayam atau bangsal buruk.

Mana tidaknya, ia dibina daripada kepingan zink, tidak berpintu dan hanya ditutup dengan kain, malah bahagian dapur juga tidak berlantai.

Sudah hampir enam tahun Ramzi Mat Ropi, 31 dan isterinya, Siti Aishah Kamarudin, 23, menghuni bangsal terletak di Kampung Belanga, di Kuala Krai itu bersama dua anak mereka yang kini berusia dua dan lima tahun.

Bulan lalu, Siti Aishah yang sarat mengandung terjerlus ke dalam tanah disebabkan tiada lantai di bahagian dapur dan hanya meniti kayu sahaja menyebabkan berlakunya komplikasi terhadap kandungan.

Siti Aishah berkata, disebabkan insiden itu dia terpaksa melahirkan anak ketiganya awal dua minggu dari tarikh jangkaan dan bayi perempuan yang kini berusia 14 hari itu kini dijaga oleh abangnya yang tidak mempunyai anak.

“Kejadian berlaku ketika kami lepas makan malam dan saya ingin mengemas pinggan mangkuk untuk dibawa ke dapur dan disebabkan keadaan cahaya yang agak suram (hanya menggunakan sebiji mentol sahaja), saya gagal memijak pada kayu dan terjerlus ke bawah.

“Perut berasa sangat sakit dan keesokannya saya terus dibawa ke Hospital Kuala Krai sebelum diarahkan untuk menyegerakan kelahiran kerana kandungan agak berisiko,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Siti Aishah berkata, sepanjang menghuni bangsal itu sudah beberapa kali mereka didatangi haiwan berbisa, termasuk ular memandangkan lokasi sekitarnya agak bersemak.

Katanya, banjir yang berlaku pada 1 Disember lalu turut melanda rumahnya dan mereka sekeluarga belum lagi mendiami bangsal berkenaan kerana dia berpantang di rumah orang tuanya di Sungai Durian, Kuala Krai.

“Beberapa hari lalu, suami ada memeriksa keadaan rumah dan menjumpai ular sawa di celah timbunan kain baju yang kotor kerana ditenggelami air.

“Sebab itu, kami masih belum berani untuk datang membersihkan rumah,” katanya sambil memberitahu mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada elaun bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Mereka menerima kunjungan dari kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, yang diwakili Che Norhayati Mohamed untuk menyerahkan bantuan makanan harian.

Che Norhayati berkata, pihaknya akan cuba membantu membaik pulih bangsal yang didiami Siti Aishah sekeluarga dengan sedikit dana yang diperoleh menerusi sumbangan orang ramai.

“Kerja baik pulih ini akan dibuat secepat mungkin kerana kami bimbangkan keadaan mereka, terutama dua anak yang masih kecil disebabkan rumah itu tidak memiliki pintu serta lantai dapur yang mengundang bahaya kepada mereka,” katanya.

Che Norhayati berkata, sesiapa yang ingin membantu keluarga itu boleh menghubunginya di talian 01125466362.

Loading...

Leave a Reply