Portal berita terbaik anda

Utama

Royalti Kelantan ‘sangkut’ di Kementerian Kewangan – Mohd Amar

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan yakin akan menerima royalti minyak sebagaimana yang dijanjikan Perdana Menteri namun cek pembayarannya, dipercayai ‘tersangkut’ di Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, hanya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mampu menjawab kelewatan itu.

Ini kerana katanya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah memberi jaminan Kelantan akan menerima bayaran royalti berkenaan.

“Sudah dua kali kita jumpa Perdana Menteri, saya nak kata apa sebab ia ‘tersangkut’ di Kementerian Kewangan.

“Walaupun isu itu dimasukkan dalam mesyuarat majlis kewangan negara, apa lagi masalah yang timbul?” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas berkata, tiada usaha baharu akan dibuat sebaliknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan menjangkakan akan menyelesaikan royalti petroleum yang menjadi tuntutan kerajaan Kelantan April lalu, selepas kerajaan negeri menyelesaikan proses menarik balik saman di mahkamah.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, kerajaan Persekutuan membayar sebahagian daripada tuntutan tersebut, manakala selebihnya tertangguh kerana pertikaian melibatkan saman yang dikemukakan oleh kerajaan negeri ke atas kerajaan Persekutuan dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Kelantan juga menarik balik saman terhadap Petronas dan kerajaan berhubung perkara itu.

Loading...

Leave a Reply