Portal berita terbaik anda

Viral

Rindukan mak ayah, murid Orang Asli tahun 1 merajuk tepi dinding

Pelbagai ragam dapat disaksikan pada sesi persekolahan bermula pada Rabu khususnya membabitkan murid pra-sekolah dan Tahun 1.

Antara yang mencuri tumpuan termasuklah gelagat seorang murid Orang Asli tahun 1 di SK Lemoi, Cameron Highlands yang merajuk kerana rindukan ibu dan bapanya di kampung.

Difahamkan, murid bernama Jasniman itu terpaksa tinggal di asrama kerana rumahnya nun jauh di dalam hutan dan hanya dibenarkan pulang dua minggu sekali.

Menerusi gambar yang dimuat naik oleh gurunya di Twitter, dia dilihat mengasingkan diri dari rakan-rakannya dan duduk di tepi kelas dengan mukanya menghadap ke dinding sambil menangis.

Menurut gurunya yang menggunakan nama samaran BungoLale, Jasniman memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru lebih-lebih lagi dia tidak pernah ke sekolah sebelum ini.

Namun, katanya, dia dan guru-guru lain akan bersama-sama membantu Jasniman dan semua murid di sekolah itu agar mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti orang lain.

Sementara itu, netizen memberikan kata-kata semangat buat Jasniman bersabar dan tidak mudah mengalah untuk terus menimba ilmu.

Mereka turut mendoakan kejayaan Jasniman dan murid orang Asli SK Lemoi sekaligus membanggakan ibu bapa mereka satu hari nanti.

Loading...

Leave a Reply