Ribut Pabuk: Bunyi angin menggerunkan – Mangsa

KUALA NERUS – “Bunyi angin semalam amat menggerunkan…terlalu kuat”.

Itu gambaran seorang suri rumah mengenai angin kencang dan hujan lebat kesan ribut tropika Pabuk yang membadai kawasan perkampungannya di Mengabang Telipot, Batu Rakit di Kuala Nerus semalam, menyebabkan beberapa rumah sekitar kawasan itu mengalami kerosakan.

Angin kencang yang membadai itu walaupun tidak menyebabkan kerosakan besar, menakutkan mangsa terlibat.

Nurul Liyananazihah Mohamad Yahya, 29, yang tinggal di Kampung Tanjung Gelam berkata ribut yang terlalu kuat itu pertama kali dialaminya sejak 14 tahun tinggal di kawasan itu dan menyebabkan bumbung rumahnya diterbangkan.

Air hujan deru masuk

“Biasalah lepas tengkujuh angin kencang tapi ini kali pertama saya rasa terlalu takut dengan tiupan angin yang sangat dasyat sehingga menerbangkan atap rumah kami…angin mula bertiup kencang pada sebelah pagi dan berlarutan sehingga 10 malam tadi.

“Sejurus atap tercabut, air hujan menderu masuk ke dalam rumah dan membanjiri ruang bilik serta dapur menyebabkan kami sekeluarga terpaksa menumpang tidur di rumah sepupu malam tadi,” kata ibu kepada dua anak itu.

Suaminya, Yushrey A Rashid, 44, pula berkata beberapa tahun lalu, tandas rumah mereka ‘hilang’ ditelan ombak ketika musim tengkujuh namun kali ini mereka berasa lebih selamat selepas pihak berkuasa membina benteng pemecah ombak di belakang dapur rumah itu.

“Saya ingatkan selepas benteng pemecah ombak itu siap, kami tidak lagi berdepan ancaman ombak besar, malangnya kali ini angin kencang pula menerbangkan atap rumah kami berteduh,” katanya.

Kawasan-kawasan yang terjejas dengan kejadian ribut itu ialah di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu. Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Mengabang Telipot dan kampung Batu Rakit.

Sebuah kereta rosak ditimpa pokok yang tumbang di Kuala Terengganu, dekat Kuala Nerus. – Bernama

Loading...

Leave a Reply