Portal berita terbaik anda

Utama

Rezeki pancing kelah merah RM3,000 seekor

HULU TERENGGANU – “Ikan kelah merah itu dijual dengan harga RM3,000 seekor dan ia memang rezeki ayah dan kami sekeluarga,” kata Mohd Fitri Mustafa, 25, dari Kampung Temir, Telemong.

Mohd Fitri anak kepada Mustafa Othman, 50, yang berjaya memancing ikan eksotik bernilai tinggi, iaitu kelah merah seberat 11.6 kilogram (kg) di Sungai Temir pada 30 September lalu.

Kejayaan Mustafa memancing ikan itu menjadi tular di media sosial dan rata-rata netizen menganggap ia sesuatu yang luar biasa dan jarang berlaku, tambahan pula sasaran asal ialah baung dan patin.

Sungai Temir memang terkenal dengan pelbagai jenis ikan sungai termasuk kelah, toman, patin, lampan, tapah dan baung, bagaimanapun ikan kelah merah sebesar itu sudah lama tidak dinaikkan di sungai berkenaan.

Ikan kelah merah itu dibeli seorang peniaga kedai makan di kawasan sekitar dengan harga pasaran ikan kelah mati RM3,000 seekor. Jika masih hidup, harganya boleh mencecah RM6,000 seekor.

Ikan eksotik itu dikatakan memakan umpan buah duku yang dikatakan memang kegemaran kelah.

Sementara itu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Temir, Mohd Asri Mohamad Nor, berkata dia teruja apabila diberitahu mengenai kejayaan Mustafa menaikkan ikan kelah merah dan segera ke sungai berkenaan.

“Kali terakhir ikan kelah merah seberat 20kg berjaya dipancing ialah kira-kira 10 tahun lalu. Biasanya ikan lain seperti toman, patin, lampam dan baung dinaikkan pemancing di sungai itu.

“Bukan selalu ikan kelah merah yang mempunyai harga pasaran RM150 sekilogram dapat dipancing di sungai itu. ..ini memang sudah rezeki Mustafa,” katanya.

Loading...

Leave a Reply