Portal berita terbaik anda

Utama

Rentas negeri sambut Aidilfitri hukumnya haram – Mufti Wilayah

KUALA LUMPUR – Hukum melanggar larangan merentas negeri ditetapkan kerajaan untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri adalah haram, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Menurut laporan Berita Harian, beliau berkata, hal ini kerana asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.

Katanya, Rasulullah SAW menyebut supaya umat manusia mengelak ke sesuatu tempat jika mendengar mengenai penyebaran sesuatu wabak penyakit dan mereka yang sudah sedia berada di tempat itu, tidak boleh keluar daripada kawasan berkenaan.

“Rentas sempadan, apa hukumnya apabila kerajaan larang? Andai tidak taat kepada Ulul Amri (pemerintah) maka hukumnya haram.

“Sekarang angka (jangkitan) semakin tinggi, jadi kalau dibenarkan (rentas negeri) bila rantaian jangkitan ini akan berhenti?

“Dalam media baru-baru ini ada kes tipu dokumen semata-mata mahu merentas negeri dengan menggunakan surat (kebenaran palsu) Yang Dipertuan Agong. Itu dua kali haram, menipu untuk rentas negeri dan menipu surat (kebenaran),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Cabaran Covid-19 Menurut Perspektif Islam dan Pelancaran Buku Fakulti Pengajian Islam di Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut disiarkan secara maya melalui aplikasi zoom, hari ini.

Luqman berkata, perbincangan panjang mengenai hukum boleh dibuat bagaimanapun dalam menangani penularan Covid-19, umat Islam perlu kembali kepada perkara paling asas termasuk menerima larangan dikenakan pemerintah sekiranya dilakukan bagi tujuan kebaikan.

Loading...

Leave a Reply