Portal berita terbaik anda

Utama

Remaja maut kemalangan dalam perjalanan beli barang untuk mangsa banjir

HASRAT seorang remaja untuk membantu mangsa banjir dan pesakit Covid-19 tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, pada Rabu.

Dalam kejadian yang berlaku di Tongkang Pechah, Batu Pahat itu, mangsa Nurul Yusrimalaili Hanizam, 18, maut di tempat kejadian selepas motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah ambulans.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Nora Ismail untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampong Parit Karjan, Sri Medan.

“Arwah seorang anak yang rajin dan ringan tulang. Selalu mengisi masa terluang dengan bekerja sambilan tanpa mengabaikan pelajarannya,” kata ibu mangsa, Zabidah.

Pada masa yang sama, Zabidah berkata, dia redha dengan pemergian anak perempuannya itu selain memohon maaf sekiranya arwah anaknya ada membuat kesilapan atau menyakiti hati mana-mana pihak.

“Pada mereka yang mengenali arwah, saya ingin memohon maaf sekiranya arwah ada buat salah silap, terkasar bahasa atau mengguris hati sesiapa,” katanya menerusi Facebook.

Lebih memilukan, mangsa baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya pada 12 Januari yang lalu dan bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi.

Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah..

Loading...

Leave a Reply