Portal berita terbaik anda

Politik

Ratusan penduduk Semenyih ditipu terima bantuan tunai RM100

RATUSAN penduduk berkumpul di kawasan berdekatan pasar di sebuah kampung kerana diberitahu ada pihak akan menghulurkan bantuan tunai.

Penduduk di Kampung Bahru Semenyih dijanjikan akan diberi wang tunai RM100 oleh pihak yang tidak dikenali semalam.

Khabar itu tersebar dan semalam ratusan penduduk kampung berkumpul di kawasan gerai makan bersebelahan pasar di penempatan masyarakat Cina itu sebagaimana yang diberitahu kepada mereka.

Apabila ditemui hari ini, Chin, pesara berusia 80 tahun berkata penduduk kampung menyerahkan salinan fotostat kad pengenalan MyKad untuk pendaftaran bagi mendapatkan wang tersebut.

“Mereka mula berkumpul sekitar jam 11 pagi, malah ada yang menunggu sejak 7.30 pagi semalam,” katanya.

Dia menjelaskan semua orang tanpa mengira usianya diberitahu layak mendapat wang tunai berkenaan.

Sementara itu seorang lagi penduduk kampung yang enggan dinamakan berkata ada juga yang membawa sama anak kecil dan menunggu dengan sabar.

PH tak beri wang tunai

Ketua Kampung Bahru Semenyih, Gan Boon Chong, yang menemani calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali untuk berkempen di kawasan gerai makan dan pasar berdekatan dilabel orang kampung sebagai ‘pembohong’.

“Saya dipanggil pembohong pagi ini dan saya tidak mengerti kenapa. Seorang penduduk memberitahu seseorang telah menggunakan nama saya untuk memberikan wang tunai dan sebanyak 500 salinan fotostat MyKad telah dikumpulkan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Gan berkata apa yang terjadi merupakan suatu penipuan bertujuan untuk merosakkan sokongan penduduk kampung kepada PH pada pilihan raya kali ini.

“Saya ingin katakan kerajaan Pakatan Harapan tidak akan memberikan wang (semasa kempen pilihan raya).

“Ini suatu penipuan. Ada pihak yang buat kacau supaya penduduk tidak akan menyokong PH pada PRK Semenyih,” jelasnya.

Menurut Gan pihaknya akan membuat laporan polis esok.

Kampung Bahru Semenyih merupakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dengan pengundi Cina yang paling ramai sebanyak 83 peratus, manakala pengundi Melayu 10 peratus dan pengundi India tujuh peratus daripada 3,211 orang yang mendaftar sebagai pemilih.

Pada PRU14, dianggarkan kira-kira 83 peratus pengundi Cina di Semenyih telah mengundi calon PH.

PRK Semenyih dijadualkan berlangsung pada 2 Mac depan, manakala pengundian awal pada 26 Februari.

Pilihan raya kecil kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Bersatu, BN, PSM dan calon bebas Kuan Chee Heng.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, allahyarham Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Loading...

Leave a Reply