Portal berita terbaik anda

Politik

Rakyat perlu beri masa lima tahun untuk PH tunai janji – Mahathir

PETALING JAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) ketika ini, perlu diberi masa lima tahun untuk menunaikan janji, sebelum rakyat membuat keputusan mengenai prestasi mereka.

Perdana Menteri berkata, rakyat yang tidak yakin dengan kerajaan, boleh menentukan undi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau menegaskan pada masa ini kerajaan sukar mencapai matlamat, berikutan banyak kerosakan dahsyat yang dilakukan pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Kalau tidak yakin (dengan kerajaan) boleh undi pada PRU-15, dia (rakyat) yang tentukan tetapi kita janji banyak dan ambil masa lima tahun sebelum kita dapat tunaikan janji.

“Tetapi apa yang berlaku masa buat (menyediakan) manifesto (untuk berdepan PRU-14), kita (PH) tak dapat maklumat penuh dan apabila ambil alih (kerajaan), kita dapati kerosakan yang dilakukan kerajaan lama itu jauh lebih dahsyat dari yang kita anggap.

“Ini yang menyebabkan kita sukar mencapai matlamat (memenuhi janji manifesto ketika ini),” katanya pada sidang media selepas berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Ke-58, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas hasil kajian Indeks Kerisauan Nasional (NWI) yang mendapati kebimbangan rakyat kini berada pada tahap ‘maksimum’.

Kajian oleh Emir Research itu juga mendapati majoriti responden, sama ada tidak pasti atau tidak bersetuju bahawa kerajaan PH berdaya maju dan negara ini berada di landasan yang betul, atau ekonomi berada pada kedudukan yang kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Emir Research ialah Rais Hussin, yang juga anggota Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kajian berkenaan dijalankan di antara 5 September hingga 10 Oktober lalu membabitkan 1,992 responden dengan 65.6 peratus Melayu dan Bumiputera, Cina (28.2 peratus) dan India (6.2 peratus).

Dr Mahathir berkata, banyak faktor menyebabkan kos sara hidup meningkat, termasuk mata wang Malaysia yang rendah dan kos pengangkutan.

“Kita hadapi masalah kos sara hidup antaranya disebabkan ada pihak yang menurunkan nilai mata wang kita.

“Kalau dulu RM3.80 bagi satu dollar Amerika Syarikat, sekarang RM4.20. Kerana nilai wang ini, segala yang kita beli menjadi lebih mahal sebab duit murah. Itu satu sebab dan kita bincang masalah ini dalam kerajaan.

“Ada juga barang turun harga tetapi orang tak nampak turun,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu melakukan kajian mendalam terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana sukar untuk menentukan kes.

Katanya, kerajaan tidak mahu dengan mudah membebaskan pengganas yang didapati terbukti terbabit dalam kesalahan seperti membuat bom.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan tidak boleh menahan dalam tempoh yang lama bagi kesalahan seperti merosakkan ekonomi yang tidak mempunyai bukti tepat.

Loading...

Leave a Reply