‘Raja Muda’ dari kerajaan jin ditahan di Bukit Bauk

DUNGUN – Seorang lelaki yang mendakwa dirinya mendapat gelaran ‘Raja Muda’ dari kerajaan jin ditahan di Surau Taman Rimba Bukit Bauk, di sini, kerana dipercayai mengamalkan ritual aneh yang meragukan dan menghias surau berkenaan umpama istananya.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan lapan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada jam 4.45 petang semalam selepas menerima maklumat tentang aktiviti mencurigakan lelaki tersebut di surau berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohd Zohan Seman berkata, dalam tangkapan itu pihaknya merampas sebatang kayu mimbar yang dibalut dengan kain kuning dan putih serta dua batu nisan.

Menurutnya, ketika ditahan, lelaki itu mendakwa dirinya digelar ‘Raja Muda Abdul Aziz’ dan mendapat gelaran itu daripada kerajaan jin yang mendiami kawasan hutan berhampiran.

“Soal siasat lanjut mendapati lelaki yang berasal dari Tanjung Jara, Dungun itu menetap di surau tersebut sejak enam bulan lalu.

“Dia mendakwa sering melakukan pertemuan bersama jin dan orang bunian yang mendiami kawasan tersebut pada setiap malam di surau terbabit untuk menyampaikan taklimat pengurusan dan pentadbiran kerajaan bayangannya,” katanya.

Kata beliau, surau itu dijadikan seperti istananya dan dihias dengan aneh.

Kelakuan pelik lelaki itu menyebabkan orang awam tidak berani untuk singgah solat di surau berkenaan yang menjadi kawasan tumpuan untuk beriadah.

Dengan tangkapan itu, lelaki berkenaan dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut dan kes kemudian diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan selanjutnya.

Susulan itu, sepasukan enam pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan Pejabat Agama Daerah Dungun bersama sepasukan anggota polis melakukan siasatan di surau itu kira-kira jam 8.45 malam tadi bersama suspek.

Loading...

Leave a Reply