Portal berita terbaik anda

Utama

Pusat jualan diesel di LKIM Chendering terbakar angkara nelayan asing

KUALA TERENGGANU – Pusat jualan minyak diesel bagi bot nelayan yang beroperasi di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini musnah dalam kejadian kebakaran jam 2.30 petang tadi.

Ketika kejadian terdapat 40,000 liter stok minyak dalam tangki simpanan induk minyak di pusat jualan milik Persatuan Nelayan Kawan (PNK) Marang dan PNK Kuala Terengganu Selatan itu.

Pengarah LKIM Terengganu, Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmood berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada perbuatan nelayan asing yang bermain mercun di kawasan itu.

“Punca sebenar belum dipastikan namun kita diberitahu terdapat nelayan-nelayan Vietnam yang bermain mercun berhampiran kawasan itu.

“Mungkin mereka tidak tahu di sini ada banyak tempat saluran minyak, gas dan air batu.

“Orang ramai sedar kejadian ini apabila api sudah marak,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih belum dapat membuat anggaran tepat jumlah kerugian dialami akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran oleh orang awam jam 3 petang.

“Sebanyak dua jentera bersama 32 anggota digerakkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak menerusi saluran paip diesel.

“Dua letupan besar berlaku ketika operasi pemadaman dipercayai berpunca daripada saluran minyak yang pecah.

“Pihak bomba mengambil masa selama 45 minit untuk mengawal kebakaran dan ia dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa satu jam,” katanya.

Loading...

Leave a Reply