Portal berita terbaik anda

Utama

PTPTN: ‘Kerajaan sekarang lebih kejam’

KUALA LUMPUR – Seramai 20 orang ahli Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyatakan protes dengan berjalan kaki sejauh 9 kilometer bermula dari Universiti Malaya (UM) ke bangunan Parlimen hari ini.

Difahamkan, tujuan protes tersebut adalah sebagai tanda bantahan terhadap dasar pemotongan gaji secara automatik bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bakal dilaksanakan selepas ini.

Presiden Gamis, Muhammad Faizuddin Mohd Zai berkata, pihaknya mengambil langkah tersebut berikutan kerajaan PH pada masa kini cuba mengambil kesempatan terhadap anak muda dengan mengetatkan lagi proses pembayaran balik pinjaman tersebut.

“Langkah kerajaan pada masa kini lebih kejam berbanding zaman pemerintahan Umno-BN. Malah anak muda turut tertekan dengan pelaksanaan pemotongan gaji tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Faizuddin berkata, menerusi pengiraan yang dilakukan pihaknya mendapati anak muda terpaksa berhutang sekitar RM400 setiap bulan sekiranya konsep pemotongan bayaran balik pinjaman itu diguna pakai kerajaan.

“Langkah yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan ini bakal melemahkan ekonomi anak muda yang baru bertapak pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Faizuddin berkata, protes tersebut disertai beberapa wakil graduan dari institusi pendidikan tempatan antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), UM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

“Kita juga akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama graduan-graduan lain selepas ini sekiranya tiada sebarang maklum balas diterima daripada menteri dan kita akan buat lagi protes mungkin dari UKM ke Putrajaya pula,” katanya.

Dalam pada itu, peserta protes berkenaan turut menyampaikan memorandum bantahan kepada wakil Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang tidak dapat hadir berikutan mempunyai program lain.

Menerusi Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam, bergantung kepada paras pendapatan mereka.

Jadual pembayaran balik ini hanya terpakai kepada peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Loading...

Leave a Reply