Portal berita terbaik anda

Politik

Projek kerajaan lebih RM7 juta di Tanjung Piai hanya kebetulan – Mahathir

KUALA LUMPUR – Dr Mahathir Mohamad berkata, pengumuman projek kerajaan dan peruntukan berjumlah RM7.2 juta di Parlimen Tanjung Piai bukannya untuk membeli undi, sebaliknya ia hanya kebetulan menjelang pilihan raya kecil pada 16 Nov ini.

“Kita sebelum namakan calon, kita jalankan tugas seperti biasa yang mana kita buat peruntukan, tetapi peruntukan ini kita buat secara kebetulan ada pilihan raya di situ,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya mengapa peruntukan tidak diumumkan selepas PRK Parlimen Tanjung Piai, perdana menteri berkata, kebiasaannya memang ada perancangan untuk kawasan tertentu.

“Kalau kita sudah umumkan ketika ada kempen-kempen di situ, ia tidak baik. Tetapi, pada kebiasaannya memang ada rancangan-rancangan.

“Tetapi, seboleh-bolehnya kita tidak mahu gunakan rancangan-rancangan ini sebagai umpan.”

Semalam, Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak menggunakan aset dan kedudukan dalam kerajaan persekutuan untuk berkempen serta membeli undi rakyat pada PRK Tanjung Piai.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan pengumuman peruntukan RM4 juta untuk menaik taraf infrastruktur sukan dan rekreasi di Tanjung Piai.

“Perkara ini diluluskan lama dah, bukannya baru diluluskan. Ia dibuat atas permohonan arwah (Md Farid Md Rafik) dan perkara ini sudah lama dibincangkan.

“Kalau saya sebagai menteri bertanggungjawab dalam infrastruktur sukan tidak boleh meluluskan permohonan yang dibincangkan semasa arwah hidup, saya tidak tahu apa lagi yang saya boleh lakukan.”

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini dan penamaan calon pada 2 Nov ini susulan kematian penyandangnya, Farid yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Farid yang juga naib ketua PPBM Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan majoriti 524 undi, selepas menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Loading...

Leave a Reply