Portal berita terbaik anda

Politik

PRK Tanjung Piai: UMNO tidak letak calon kerana takut kalah – Mahathir

PONTIAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata UMNO tidak meletakkan calon sebagai wakil Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kerana takut kalah.

“UMNO takut. Sebab saya tahu kalau dia letak (calon UMNO mewakili BN), akan kalah. Kita yakin kita boleh menang walaupun dia letak sesiapa. Kalau letak UMNO lebih baik, tapi dia letak MCA (sebagai wakil BN),” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bin Chong, di sini sempena lawatan kerja sehari ke Johor hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditanya mengenai BN yang mengumumkan calon daripada MCA iaitu bekas penyandang, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, bagi mewakili parti itu, merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai, dan bukannya calon daripada UMNO seperti disebut-sebut sebelum ini.

Jeck Seng pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal pada 2008 hingga 2018.

Beliau sekali lagi bertanding bagi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun tewas kepada calon PH, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafiq.

Isnin lalu, Ketua PPBM Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, diumumkan sebagai calon PH untuk PRK itu.

Pada PRU14, Karmaine bertanding di kerusi Parlimen Pontian, tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833 undi. – BERNAMA

Loading...

Leave a Reply